X

Kindly register in order to view this article
!

Pegawai imigresen didakwa terima rasuah, pengubahan wang haram

Mohd Shah Ezywan (kiri) didakwa atas pertuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram antara tahun 2017 sehingga tahun lalu.
A
A

SEREMBAN - Seorang pegawai Jabatan Imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa atas pertuduhan menerima rasuah dan pertuduhan pengubahan wang haram antara tahun 2017 sehingga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Shah Ezywan Abd Rahman, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh iaitu Pegawai Imigresen Gred KP19 didakwa telah menerima wang tunai keseluruhan berjumlah RM885,950 daripada tiga individu yang mana tertuduh mengetahui individu terbabit mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi dilakukan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Malayan Banking Berhad Cawangan Nilai pada 11 Januari 2017 sehingga 1 November 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Bagi empat pertuduhan berhubung kesalahan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa telah menerima wang keseluruhan RM885,950 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada tiga individu sama antara 29 Mac 2017 hingga 19 Mei 2020 di Malayan Banking Berhad Cawangan Nilai.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613).

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan jaminan RM65,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu hadir melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan.

Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu saksi-saksi yang terlibat dan mahkamah menetapkan sebutan kes pada 26 Februari depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan tertuduh diwakili peguam, Afifuddin Ahmad Hafifi.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!