Sindiket penipuan guna taktik menyamar sebagai rakan atau saudara

Nik Ezanee
Nik Ezanee
A
A
A

PETALING JAYA - Polis Daerah Petaling Jaya mengesan sindiket penipuan dalam talian yang menggunakan modus operandi secara menyamar sebagai rakan atau saudara bagi urusan pinjaman wang.

Ketua Polis Daerah Petaling Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima 78 laporan berkaitan kes itu sejak Januari tahun lalu hingga kini.

"Anggaran kerugian pula kira-kira RM250,000," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Nik Ezanee berkata, berdasarkan keterangan mangsa, suspek pada mulanya akan memperkenalkan diri sebagai ‘rakan’ atau ‘saudara’ dan memberitahu nombor telefon yang digunakan itu adalah nombor baharu kerana nombor asal telah hilang.

"Apa yang lebih menarik lagi, suspek berjaya memperdaya mangsa dengan meniru suara sebenar atau mirip suara rakan serta ahli keluarga mangsa," katanya

Nik Ezanee berkata, suspek turut menggunakan profile WhatsApp yang memaparkan gambar rakan mangsa.

"Mangsa bertambah yakin bahawa itu adalah rakannya yang dalam kesusahan dan ingin meminjam wang.

"Mangsa diberi nombor akaun bukan milik ‘rakan’ atau ‘saudara mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tanpa membuat semakan terlebih dahulu, mangsa telah memasukkan wang ke dalam akaun yang diberi.

"Mangsa mula menyedari ditipu apabila mangsa cuba menghubungi rakannya atau ahli keluarga yang sebenar dan mendapati tiada

permintaan pinjaman wang seperti yang disangka, malah telefon bimbit mereka tidak hilang," katanya.

Menurutnya modus operandi ini tidak mensasarkan mana-mana golongan tetapi penjenayah sentiasa berusaha untuk memperdaya mereka yang leka dengan taktik-taktik yang baru.

"Orang ramai juga boleh membuat semakan di portal ccid pdrm: http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222," katanya.