UniSZA tubuh Covid Buster bendung Covid-19

Dr Hassan Basri (dua kanan) meninjau kerja-kerja sanitasi pasukan Covid Buster.
Dr Hassan Basri (dua kanan) meninjau kerja-kerja sanitasi pasukan Covid Buster.
A
A
A

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengambil inisiatif menubuhkan satu pasukan khas, iaitu Covid Buster dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pasukan itu ditubuhkan sejak Julai tahun lalu, susulan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan kakitangan universiti berkenaan sebelum ini.

Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan
Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan

"Bermula daripada gelombang pertama hingga ketiga, terdapat beberapa kes positif dalam kalangan kakitangan UniSZA.

"Bagaimanapun, kes positif Covid-19 yang dilaporkan di dalam UniSZA bukan berlaku di dalam universiti sebaliknya kes positif itu mereka dapat daripada jangkitan luar.

"Apabila ada kes, kita akan tutup kawasan atau pejabat untuk proses sanitasi. Pada peringkat awal, kita mendapat latihan daripada bomba termasuk daripada segi bancuhan. Kita sedia maklum dengan kekangan yang dihadapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jadi dengan adanya pasukan ini, kita dapat melakukan proses sanitasi itu sendiri," katanya selepas melakukan pemantauan kerja-kerja sanitasi yang dilakukan pasukan Covid Buster di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di sini, Selasa.

Pasukan Covid Buster UniSZA melakukan kerja-kerja sanitasi di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, di sini.
Pasukan Covid Buster UniSZA melakukan kerja-kerja sanitasi di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Covid Buster ditubuhkan Pusat Pengurusan Makmal Berpusat dengan kerjasama Jawatankuasa Task-Force Covid-19 UniSZA, Pusat Pengurusan Harta Benda (PPHB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Artikel Berkaitan:

Buat masa ini, pasukan itu disertai 20 orang.

"Selain melakukan sanitasi di UniSZA, pasukan ini juga membuat proses sanitasi di surau-surau di kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Rakit.

"Kita turut bersedia membantu melakukan sanitasi di kawasan lain sekiranya ada permintaan," katanya.