X

Kindly register in order to view this article
!

SK Che Deris sumbang telefon pintar bantu murid tercicir PdPR

Murid SK Che Deris, Muhammad Alif Irfan Yaso’, 9, (kanan) dan adiknya Fatin Nur Aimi Shahira, 8, menunjukkan telefon pintar yang diberi oleh Guru Besar mereka Mohammad Fadzil Mat II (iI) untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah mereka di Kampung Tanjong Baru, Badang, Kota Bharu pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

KOTA BHARU- Sekolah Kebangsaan (SK) Che Deris, di sini mengambil inisiatif menyumbang telefon pintar kepada murid kurang berkemampuan bagi memudahkan mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Guru Besar SK Che Deris, Mohammad Fadzil Mat Il (il) berkata, hampir 30 peratus murid sekolahnya daripada keluarga kurang berkemampuan dan tidak mampu memiliki telefon pintar untuk mengikuti PdPR secara dalam talian.

“Setakat ini pihak sekolah telah mengesan murid yang tidak berkemampuan untuk memiliki telefon pintar bagi mengikuti PdPR yang telah dilaksanakan bermula minggu lalu.

“Rata-rata mereka adalah keluarga miskin yang tinggal di perkampungan nelayan selain pendapatan ibu bapa mereka yang terkesan susulan penularan Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tanjong Baru, Badang dekat sini pada Selasa.

Terdahulu, Mohammad Fadzil mengunjungi rumah anak muridnya, Muhammad Alif Irfan Yaso’, 9, dan Fatin Nur Aimi Shahira, 8, untuk menyerahkan sumbangan telefon pintar bagi kegunaan dua beradik itu untuk mengikuti PdPR.

Mohammad Fadzil (kanan) menyerahkan sumbangan telefon pintar kepada anak muridnya Fatin Nur Aimi Shahira, 8, dan Muhammad Alif Irfan Yaso’, 9, bagi kegunaan dua beradik itu untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah mereka di Kampung Tanjong Baru, Badang, Kota Bharu pada Selasa. - Foto Bernama
Mohammad Fadzil (kanan) menyerahkan sumbangan telefon pintar kepada anak muridnya Fatin Nur Aimi Shahira, 8, dan Muhammad Alif Irfan Yaso’, 9, bagi kegunaan dua beradik itu untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah mereka di Kampung Tanjong Baru, Badang, Kota Bharu pada Selasa. - Foto Bernama

Mengulas lanjut, pihak sekolah ketika ini dalam usaha untuk mengumpul dana daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), badan bukan kerajaan (NGO) dan juga orang persendirian untuk menyediakan telefon pintar termasuk pelan data kepada murid yang memerlukan.

“Kami menjangkakan daripada gerak gempur yang sedang dilaksanakan ini masalah kesemua murid yang tidak mampu memiliki telefon pintar bagi mengikuti PdPR secara dalam talian ini dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu.

“Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi menyediakan telefon pintar untuk murid SK Che Deris boleh menyalurkan sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Che Deris melalui akaun Bank Islam bernombor 03018010144382,” katanya.

Sementara itu, Rosnani Ibrahim, 43, berkata, sebelum ini dua anaknya iaitu Muhammad Alif dan Fatin Nur Aimi Shahira tidak dapat mengikuti PdPR seperti rakan-rakannya yang lain kerana tidak mempunyai telefon pintar.

Katanya, beliau hanya menggunakan telefon biasa yang tiada kelengkapan pelan data selain tidak mempunyai aplikasi WhatsApp dan Telegram untuk anaknya mengikuti PdPR secara dalam talian.

“Saya bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan telefon pintar yang diberikan oleh pihak sekolah. Untuk membeli telefon pintar baharu saya tidak mampu memandangkan saya hanya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah dengan pendapatan sekitar RM1,200 sebulan.

“Malah, saya juga mempunyai empat lagi anak yang masih bersekolah dan di peringkat universiti selain suami Yaso’ Ghani, 47, juga tidak mampu bekerja kerana menghidap penyakit buasir sejak hampir lima tahun lalu,” katanya yang turut menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!