X

Kindly register in order to view this article
!

Ketua sindiket dadah, empat ahli didakwa

Tertuduh dibawa masuk ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa.
A
A

JOHOR BAHRU - Lima individu termasuk seorang wanita dan seorang ketua sindiket dadah didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas 18 pertuduhan mengedar dadah pada 9 hingga 15 Januari lalu.

Mereka yang didakwa ialah Goh Chee Kuang, 44, yang merupakan ketua sindiket bersama kekasihnya, Lee Chia Hui, 33.

Turut didakwa ialah Lye Chang Pung, 39, dan adiknya, Lye Chang Lim, 36 serta Bally Paw Shaw Kat, 38.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nurmardiana Mamat.

Chang Pung berdepan lima pertuduhan, manakala Shaw Kiat sebanyak empat pertuduhan, sementara Chang Lim, Chee Kuang dan Chia Hui masing-masing berdepan tiga pertuduhan.

Mereka secara bersama didakwa mengedar beberapa jenis dadah berbahaya termasuk ketamin dan methamphetamine antara 102 gram hingga 210 kilogram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Mount Austin, Taman Baiduri dan Taman Setia Indah di sini antara 9 hingga 15 Januari 2021.

Kesemua mereka didakwa mengikut 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noor Hadi dan Suriani Ujang manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Bela, Datuk Micheal K L Chee dan Kevin Quah Kai Weng.

Mahkamah menetapkan 26 April depan bagi sebutan semula sementara menunggu laporan kimia.

Terdahulu, polis Johor menerusi sidang akhbarnya sebelum ini mendedahkan berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM327 juta di sekitar Johor Bahru daripada sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah terbesar di Malaysia, selain membongkar lima stor penyimpanan dadah serta makmal memproses dadah.

Selain itu seramai 17 ahli sindiket berusia 17 hingga 62 turut ditahan menerusi 23 serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor antara 8 hingga 17 Januari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: 13 ahli sindiket dadah terbesar di Johor didakwa di mahkamah esok


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!