Tok Mat bimbang perpecahan beri kesan kepada UMNO, bangsa Melayu

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bimbang terhadap perpecahan yang berlaku dalam parti itu boleh memberikan kesan terhadap UMNO dan bangsa Melayu.

Ujar beliau, perpecahan yang berlaku akan menyebabkan pihak lain mendapat keuntungan ibarat kata pepatah Melayu 'antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang akan kenyang'.

"Era di mana perbezaan kita diuruskan dengan sopan, berhikmah dan melalui jalan yang disepakati.

"Seterusnya, parti diperkuatkan dengan iltizam untuk memperjuangkan kepentingan Malaysia, Melayu, Islam dan demokrasi sebagai keutamaan.

"Dan akhirnya, UMNO dihormati sebagai jurucakap sebenar rakyat Malaysia dan bangsa Melayu dan bukannya parti yang rakus dengan kuasa dan kedudukan," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pihak tertentu yang mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur melalui kain rentang dan sepanduk.

Mohamad Hasan yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, perbuatan tersebut bertentangan dengan budaya dan nilai serta bukan adab susila parti itu sebagai orang Islam dan Melayu.

"Janganlah sesekali kita terkurang hormat kepada institusi presiden, yang wajar disantuni dengan sopan dan tatasusila sebaiknya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, rakyat boleh berbeza pandangan, aspirasi dan citra kerana UMNO itu nilainya demokratik, tetapi jangan sampai ia membawa kepada sengketa yang akhirnya memecahbelahkan UMNO.

"Pepatah Melayu berpesan 'menurut biar berakal, menentang biar beradab'," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada semua pihak untuk kembali kepada kesatuan dalam UMNO dengan saling berdamai di antara satu sama lain.

Tambah beliau, apabila berlaku sedikit perpecahan, ia akan memberi peluang kepada pihak lawan untuk memecahbelahkan UMNO.

"Jangan sesekali kita membuka ruang untuk persahabatan dan setia kawan dalam UMNO diadu domba sehingga kita menjadi seteru antara satu sama lain.

"Tiada siapa yang akan untung atas perpecahan UMNO dan tiada siapa juga yang akan menang. Sama lebur sama binasa," ujarnya.

Saya telah melihat kemunculan budaya yang tidak sihat dalam UMNO kebelakangan ini dalam cara kita mendesak pengunduran...

Posted by Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan on Monday, January 25, 2021