NGO bantah penyahwartaan kawasan hijau di KL

Razali (dua dari kiri) bersama Mohd Noor (kanan) sebelum menyerahkan surat bantahan ke Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada Selasa.
Razali (dua dari kiri) bersama Mohd Noor (kanan) sebelum menyerahkan surat bantahan ke Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menyerahkan bantahan kepada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan berhubung penyahwartaan kawasan hijau di Lot 80835 yang terletak antara sempadan Parlimen Kepong dan Batu di sini.

Bantahan itu dihantar oleh NGO Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN), Skuad Prihatin Kuala Lumpur (SPKL) dan Selamatkan Kuala Lumpur (SKL) di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan di sini pada Selasa.

Pengerusi GMPN, Razali Zakari berkata, pihaknya membantah rancangan penyahwartaan kawasan hijau itu kerana mendakwa tindakan itu bertentangan dan melanggar Local Agenda 21 (LA21).

"Projek yang bakal dibangunkan di tapak itu tidak menepati pembangunan mampan tanpa mengambil kira aktiviti penduduk di kawasan sekitar.

"Tindakan ini juga tidak mencerminkan pentadbiran dan ketelusan yang baik daripada kerajaan dalam melakukan rancangan pembangunan khususnya di kawasan kota," katanya ketika ditemui pemberita sebelum menyerahkan dokumen bantahan itu pada Selasa.

Sementara itu, Pengerusi SPKL, Datuk Mohd Noor Ali berkata, penduduk setempat, peniaga dan wakil rakyat di kawasan terlibat juga tidak pernah dirujuk dalam sebarang proses perbincangan penyahwartaan kawasan hijau tersebut.

Beliau berkata, penduduk tidak menghalang sebarang bentuk pembangunan di kawasan itu namun pandangan semua pihak seharusnya diambil kira terlebih dahulu.

"Maklumat terperinci berhubung kerja pembangunan di kawasan itu wajar dikongsikan kepada umum bagi mengelakkan kekeliruan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sukarelawan SKL, Peter Leong berkata, pihaknya mendapat maklumat terdapat tujuh lagi lokasi di sekitar Kuala Lumpur telah dinyahwartakan tanpa perbincangan dengan penduduk atau pihak berkepentingan.

Tambah Peter, pihaknya berharap agar ahli Parlimen dapat membangkitkan perkara berkenaan bagi mengetahui status sebenar cadangan pembangunan di tapak-tapak tersebut.