X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan disaran beri kupon subsidi beli komputer riba

Shahril Sufian
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyarankan kerajaan menyediakan kupon subsidi untuk pembelian komputer riba.

Katanya, kupon tersebut tidak memerlukan spesifikasi yang ketat dan proses perolehan yang rumit bagi memudahkan pembelian komputer riba memandangkan ia sangat diperlukan ketika ini bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Tambah Shahril, kupon yang diberikan juga dapat menambah kitaran belanja dalam ekonomi negara.

“Malaysia ada hampir 4.8 juta pelajar sekolah rendah dan menengah. Mengambil sifir mudah, B40 ada dua juta pelajar dan M40 juga dua juta.

“Kerajaan boleh belanja dengan menyediakan kupon subsidi hanya untuk pembelian komputer riba misalnya RM1,000 untuk B40 dan RM500 untuk M40.

“Jika ia digunakan secara total pun, jumlah belanja ialah RM3 bilion. Tak sampai satu peratus Belanjawan 2021. Baik kupon fizikal mahupun e-wallet, kedua-duanya boleh dipertimbangkan,” katanya melalui satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Dalam kenyataan sama, Shahril berkata, hanya kerajaan dapat menangani cabaran PdPR tersebut.

Tambahnya, mustahil bagi pihak pertubuhan bukan kerajaan, parti politik atau persendirian boleh menyediakan kemudahan tersebut untuk semua yang memerlukan.

Terdahulu, seramai 150,000 orang pelajar bakal menerima komputer riba, tablet dan data melibatkan dana sebanyak RM150 juta pada Februari ini.

Kemudahan itu disediakan menerusi Inisiatif Cerdik yang dikendalikan oleh Yayasan Hasanah bersama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kewangan dan rakan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan untuk membantu keluarga berpendapatan rendah.

Menurut Shahril, perkara tersebut sewajarnya diselesaikan lebih awal dan spesifikasi komputer riba boleh ditentukan pada tahun lepas lagi.

“Namun, soal lebih besar, adakah angka 150,000 itu berasaskan kajian mendalam tentang jumlah pelajar dan isi rumah yang memerlukan laptop untuk PdPR?

“Kajian Kementerian Pendidikan sendiri tahun lepas membayangkan 37 peratus pelajar tidak ada sebarang peranti elektronik. Dalam kalangan yang ada peranti, kebanyakan adalah telefon pintar dan bukan komputer riba atau PC,” katanya.

Beliau turut mengandaikan bahawa 150,000 unit komputer riba tidak mencukupi bagi golongan yang memerlukan.

Shahril berkata, isu pembukaan sekolah akan berpanjangan dan PdPR bukan lagi satu kemahuan tetapi menjadi keperluan buat setakat ini.

“Jika ada idea atau kaedah lain, amat dialu-alukan. Tetapi yang penting, semua pelajar mesti ada kemampuan menjalani PdPR.

“Kerajaan mesti mengutamakan kebajikan pelajar dan mengesyorkan mereka agar situasi hari ini tidak akan menghalang pelajar dari menerima pendidikan berkualiti,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!