Lampard luah rasa kecewa

Frank Lampard
Frank Lampard
A
A
A

BEKAS pengendali Chelsea, Frank Lampard mengakui sedikit kecewa selepas dipecat daripada melatih kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu pada Isnin.

Menurutnya, dia tidak mendapat masa yang mencukupi musim ini untuk mengemudi kelab ke tahap yang lebih baik sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pengurusan pasukan.

"Ketika pertama kali saya mengambil alih tanggungjawab ini, saya faham cabaran dan kesukaran ketika mengendalikan sesebuah pasukan bola sepak.

"Dalam masa sama, saya sedikit kecewa kerana tidak diberikan masa yang mencukupi musim ini. Namun, apa jua situasinya, saya cukup berbangga dengan apa yang telah kami capai setakat ini.

"Malah, saya juga berbangga dengan beberapa pemain dari akademi yang berjaya masuk ke dalam pasukan utama dan beraksi dengan baik. Mereka adalah masa depan untuk kelab ini," katanya.

Lampard yang mula mengemudi Chelsea pada 2019 dipecat oleh Chelsea selepas persembahan kurang memberangsangkan The Blues yang menyaksikan mereka berada di kedudukan kesembilan liga pada ketika ini.

Dalam pada itu, Lampard turut berterima kasih kepada Chelsea yang memberikan peluang kepadanya untuk melatih pasukan tersebut.

"Ia merupakan satu penghormatan untuk mengendalikan Chelsea, sebuah kelab yang telah menjadi sebahagian besar daripada hidup saya sejak sekian lama.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat atas sokongan luar biasa yang saya terima selama 18 bulan terakhir. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Roman Abramovich (pemilik pasukan), pemain, pasukan bimbingan saya dan semua orang di kelab atas kerja keras dan dedikasi mereka," katanya.

Chelsea dijangka mengumumkan bekas pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel sebagai pengganti Lampard dalam masa terdekat.

ARTIKEL BERKAITAN: Chelsea pecat Lampard