Buruh cedera kena belasah tiga beradik

Seorang lelaki cedera selepas dibelasah tiga beradik dalam kejadian di Kampung Berenjut pada Ahad lalu.
Seorang lelaki cedera selepas dibelasah tiga beradik dalam kejadian di Kampung Berenjut pada Ahad lalu.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang buruh cedera pada tulang rusuk, badan serta muka selepas dibelasah oleh tiga beradik yang dikenalinya dalam kejadian di Kampung Berenjut di sini, pada Ahad lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu cedera di tulang rusuk akibat disepak dan di bahagian hidung serta dahi selepas ditumbuk, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang.

Menurut sumber, difahamkan sebelum kejadian mangsa menerima panggilan daripada rakannya iaitu salah seorang suspek meminta agar segera ke rumahnya dengan alasan untuk berbincang beberapa masalah.

Kata sumber, tanpa sebarang syak, mangsa segera ke lokasi seperti diarahkan dan setibanya di rumah berkenaan, dia dipukul rakannya itu serta dua lagi adik beradiknya yang dikenali mangsa.

"Mangsa terus ditumbuk dan disepak oleh tiga beradik tersebut selepas bengang kononnya mangsa individu bertanggungjawab yang membongkar kegiatan penagihan dadah mereka kepada pihak berkuasa.

"Tanpa memberi peluang untuk mangsa memberi penjelasan, mereka bertubi-tubi membelasah lelaki itu sehingga mengalami kecederaan sebelum mangsa berjaya melarikan diri.

"Masih tidak berpuas hati, mereka mengugut akan memukul dan mencederakan mangsa lagi selepas ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Kata sumber, mangsa yang risau keselamatan dirinya pada masa akan datang mengambil keputusan membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.