X

Kindly register in order to view this article
!

Warga Taiwan dalang sindiket Macau Scam antarabangsa diberkas

Seorang lelaki warga Taiwan disyaki dalang sindiket Macau Scam antarabangsa ditahan bersama tiga yang lain dari negara sama di sebuah kondominium di Ampang Putra di sini pada Isnin. - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Taiwan yang disyaki dalang sindiket Macau Scam antarabangsa ditahan di sebuah kondominium di Ampang Putra di sini pada Isnin.

Menurut sumber, lelaki berusia 39 itu ditahan oleh sepasukan Polis Diraja Malaysia dan Polis Antarabangsa (Interpol) pada jam 8.20 malam.

Katanya, penahanan tersebut turut melibatkan seorang lagi lelaki warga Taiwan berusia 49 tahun dikehendaki polis Taiwan bersama dua lelaki lain dari negara sama di kediaman terbabit.

"Polis Taiwan menerima maklumat bahawa suspek telah bersembunyi di Kuala Lumpur ketika menjalankan sindiket Macau Scam yang menyasarkan warga China," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sumber itu memaklumkan, dalang sindiket terbabit diburu polis Taiwan sejak 25 Disember 2014.

Difahamkan, lelaki terbabit sebelum ini pernah terlibat dengan sindiket penipuan Macau di Filipina pada 2014 dan di Montenegro pada 2019.

"Polis percaya bahawa dia masih menjalankan sindiket antarabangsa dari Malaysia sebelum penangkapannya.

"Dia juga memiliki kewarganegaraan serta pelaburan di Republik Guinea-Bissau," katanya.

Sementara itu, sumber memaklumkan lelaki berusia 49 tahun dikehendaki polis Taiwan merupakan dalang sindiket penipuan dalam talian di negara itu.

Katanya, polis percaya suspek terbabit telah bekerjasama dengan dalang berusia 39 tahun serta menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat operasi untuk sindiket penipuan antarabangsa mereka.

Mengulas lanjut katanya, operasi tersebut berjaya selepas polis Taiwan meminta bantuan Bukit Aman yang kemudian melakukan operasi dengan Interpol untuk memberkas suspek.

Beliau berkata, keempat-empat yang ditahan akan disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

"Setelah siasatan dilakukan oleh JSJK, keempat-empat lelaki itu akan diserahkan kepada polis Taiwan," katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

"Kita telah bekerjasama dengan Interpol dan polis Taiwan dalam menghasilkan kejayaan operasi ini," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!