Covid-19: Dua warga Malaysia antara 44 kes import di Singapura

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SINGAPURA - Dua rakyat Malaysia antara 44 kes import baharu Covid-19 yang dilaporkan di Singapura pada Isnin, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Berdasarkan data penuh kementerian yang dikeluarkan lewat malam tadi, kedua-dua pemegang permit kerja itu tiba dari Malaysia.

Kes pertama yang dilabel sebagai 59,644 adalah seorang lelaki berusia 26 tahun dan dia asimptomatik atau tanpa gejala, manakala kes kedua dilabel sebagai 59,645 adalah seorang wanita berusia 33 tahun yang mempunyai gejala.

Setakat tengah hari Isnin, Singapura mencatatkan 44 kes import baharu yang 40 daripadanya adalah asimptomatik manakala empat lagi bergejala.

Seorang lelaki penduduk tetap Singapura berusia 60 tahun yang pulang dari Malaysia juga antara kes import tidak bergejala di sini.

Beliau dikaitkan dengan kes 59,532 yang dilaporkan pada 22 Januari, seorang lelaki warga Singapura berusia 61 tahun yang pulang dari Malaysia juga.

Kes-kes lain yang diimport adalah dari Bangladesh, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Poland, Rusia, Sepanyol, Belanda, Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Republik tersebut melaporkan tiada jangkitan penularan tempatan pada Isnin, menjadikan jumlah jangkitan Covid-19 di negara itu kepada 59,352.

Artikel Berkaitan:

Menurut kementerian itu, kesemua 44 kes import tersebut dikenakan notis duduk di rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.

Tiada kluster baharu dilaporkan pada Isnin, menjadikan jumlah kluster kekal enam. - Bernama