Maut kereta bertembung

Keadaan kereta dinaiki mangsa selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta lain di KM22 Jalan Lipis - Jerantut, petang Isnin.
Keadaan kereta dinaiki mangsa selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta lain di KM22 Jalan Lipis - Jerantut, petang Isnin.
A
A
A

LIPIS - Seorang warga emas maut apabila kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta lain di Kilometer 22, Jalan Lipis-Jerantut di kawasan Kampung Lentang, di sini petang Isnin.

Mangsa, Rashid Yacob, 62, beralamat dari Kampung Sungai Lik, Mela, Jerantut disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Lipis kira-kira tiga jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 2.30 petang itu, isteri mangsa, Nor Hapiza Sanah, 52, yang berada di kerusi penumpang hadapan hanya cedera ringan.

Menurutnya, pemandu sebuah lagi kereta, Yahaya Sulaiman, 61, parah di bahagian kepala.

"Siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan berlaku ketika kereta Proton Saga dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah bandar Kuala Lipis menghala ke Jerantut, manakala sebuah lagi kereta jenis Proton Iswara dari arah bertentangan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Iswara dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dinaiki mangsa dan isterinya.

"Akibat kemalangan itu, dua pemandu cedera parah dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Azli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak hospital kira-kira jam 5.17 petang memaklumkan salah seorang mangsa kemalangan itu meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.