Covid-19: Tiga lagi sekolah rendah di Terengganu ditutup

SK Pusat Chabang Tiga ditutup selama tujuh hari bermula Isnin bagi membolehkan sanitasi dilakukan berikutan terdapat kakitangan disahkan positif Covid-19. - Foto Internet
SK Pusat Chabang Tiga ditutup selama tujuh hari bermula Isnin bagi membolehkan sanitasi dilakukan berikutan terdapat kakitangan disahkan positif Covid-19. - Foto Internet
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiga lagi sekolah rendah di negeri ini diarahkan tutup selama tujuh hari bermula Isnin berikutan ada kakitangan sekolah berkenaan positif Covid-19.

Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga, SK Pusat Chabang Tiga di Kuala Terengganu dan SK Bukit Apit, Hulu Terengganu ditutup bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus mengesahkan penutupan tiga sekolah terbabit ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Kakitangan sekolah itu disahkan positif Covid-19 pada 20 Januari.

Penutupan dilakukan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit.

Kegagalan mematuhi arahan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 22(b) Akta 342 dan jika sakit kesalahan di bawah Seksyen 24(a) boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, dua sekolah iaitu SK Sultan Sulaiman 1 dan SK Paloh di sini ditutup selama 14 hari bagi proses sanitasi ekoran terdapat lapan kes positif Covid-19 dikesan.

Dua hari kemudian, 10 lagi sekolah rendah daerah ini tutup selama tujuh hari atas faktor sama menjadikan keseluruhan sekolah yang ditutup setakat ini adalah 15.

Artikel Berkaitan: