Ramai peserta Peraduan Sinar Harian Di Hatiku cipta slogan asli

Farah mengadili salah satu penyertaan bagi kategori kreatif.
Farah mengadili salah satu penyertaan bagi kategori kreatif.
A
A
A

SHAH ALAM - Ramai peserta mencipta slogan kreatif, asli, padat dan mudah diingati yang memberi cabaran kepada barisan juri ketika melakukan penjurian Peraduan Sinar Harian Di Hatiku bertemakan Malaysia Indah yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM60,000.

Penjurian akhir peraduan yang berjaya menarik sebanyak 44,621 penyertaan daripada seramai 5,667 individu itu disertai oleh lima juri terdiri daripada tiga juri jemputan dan dua juri daripada Sinar Harian.

Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, daripada banyak penyertaan, terdapat sebilangan penyertaan kategori utama yang dianggap ibarat permata kerana cogan kata yang direka tidak retorik dan bukan diceduk daripada mana-mana sumber.

“Pemenang yang kita pilih adalah peserta yang menghasilkan cogan kata yang mempamerkan keaslian. Saya sendiri pun tidak terfikir susu-nan kata yang dicipta itu kerana ia sangat kreatif dan menepati tema yang dikehendaki.

“Pemenang bagi kategori kreatif juga sukar kita pilih kerana ramai peserta hasilkan reka cipta dalam bentuk replika yang bermutu dari segi imiginasi, keunikan dan kekemasan,” katanya selaku salah seorang juri.

Chamil berkata, penganjuran peraduan itu memberi kesan yang luar biasa kerana menjadi jambatan menghubungkan Sinar Harian dengan pembaca.

Menurutnya, menerusi penyertaan lebih 5,600 peserta, Sinar Harian memperoleh data pembaca dari segi umur, jantina dan geografi kerana perkara itu penting agar akhbar tersebut dapat terus menghasilkan kandungan yang memenuhi semua kategori pembaca.

Seorang lagi juri, Ketua Pegawai Eksekutif Hal Ehwal Pelajar dan Pengarah, Pusat Pembelajaran Umum Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Profesor Dr Zuhaili Akmal Ismail berkata, menerusi pelbagai slogan kreatif yang direka, ia menunjukkan kehebatan rakyat Malaysia memperkasa bahasa Melayu.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, kita dapat melihat idea-idea bernas dan segar menerusi kategori kreatif melalui penghasilan pelbagai replika yang dihantar bersama borang penyertaan. Saya kagum dengan setiap item (replika itu) kerana masing-masing mempunyai penceritaan.

“Ada yang memaparkan pancaroba yang terpaksa dihadapi rakyat dan ada juga menunjukkan betapa kaya Malaysia dengan flora dan fauna.

“Mereka menganyam keunikan Malaysia bersama konsep Sinar Harian dengan misi dan visi untuk memberi berita yang tepat,” katanya.

Penyanyi terkenal yang turut diundang sebagai juri, Altimet pula berkata, peraduan tersebut wajar diteruskan kerana ia membuka ruang kepada rakyat untuk mengasah minda dan memberi kepuasan kepada mereka yang minat mencipta slogan.

Altimet mengakui kagum dengan kesungguhan peserta menghasilkan replika Kompleks Kumpulan Karangkraf.
Altimet mengakui kagum dengan kesungguhan peserta menghasilkan replika Kompleks Kumpulan Karangkraf.

“Sejak saya kecil, peraduan sebegini yang menuntut peserta mencipta slogan kreatif sudah ada. Ia masih berterusan sehingga sekarang kerana adanya usaha-usaha daripada pelbagai pihak termasuk Sinar Harian untuk memeliharanya.

“Lebih menarik, peraduan ini memaparkan lokasi menarik di Malaysia yang secara langsung mengajak dapat rakyat untuk menyokong pelancongan domestik,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarang Sinar Harian, Rozaid Rahman berkata, penyertaan hampir 45,000 yang diterima untuk Peraduan Sinar Harian Di Hatiku memberi petanda jelas bahawa sambutan pembaca dan peminat terhadap Sinar Harian masih kukuh serta utuh.

Rozaid memberi markah bagi penyertaan kategori kreatif Peraduan Sinar Harian Di Hatiku.
Rozaid memberi markah bagi penyertaan kategori kreatif Peraduan Sinar Harian Di Hatiku.

“Daripada data yang kita kumpulkan, ia memberi petunjuk yang jelas kepada kita tentang demografi pembaca kita di seluruh negara. Kita dapati pembaca kita berumur antara 45 hingga 55 tahun.

“Kita melihat terdapat ruang yang luas untuk kita memperkukuhkan kandungan bagi memenuhi cita rasa pembaca daripada pelbagai latar belakang, umur dan jantina. Kita harapkan pada masa akan datang, apa yang kita siarkan meliputi lapisan umur yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau juga berharap agar pertandingan seterusnya yang akan diadakan pada Februari nanti akan terus mendapat sambutan hangat yang berlipat kali ganda berbanding Peraduan Sinar Harian Di Hatiku.

Turut mengadili penilaian peringkat akhir itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sinar Harian, Farah Hussamuddin.

Peraduan Sinar Harian Di Hatiku berlangsung bermula 5 Oktober sehingga 14 Disember lalu yang terbahagi kepada dua iaitu kategori utama menawarkan RM30,000 kepada pemenang tempat pertama dan kategori kreatif yang menawarkan pemenang tempat pertama hadiah RM5,000.

Nama kesemua pemenang bertuah akan diumumkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada 1 Februari ini.