Disiplin pakai pelitup muka

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PANDEMIK Covid-19 masih menjadi ancaman kepada Malaysia susulan peningkatan kes yang amat membimbangkan.

Lantaran itu, kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk mengamalkan pemakaian pelitup muka secara betul, selain berdisiplin mempraktikkannya disebabkan keberkesanannya mengelak penyebaran 60 peratus penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus seperti Covid-19.

Pelitup muka mampu melindungi orang sihat daripada dijangkiti atau untuk mencegah orang yang dijangkiti daripada menjangkiti orang lain kerana 30 hingga 40 peratus individu yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala, seterusnya menyebarkan virus ketika batuk, bersin atau hanya bercakap.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggalakkan penggunaan pelitup muka kerana terbukti berkesan menurunkan jangkitan jika disertakan dengan penjarakan fizikal, amalan kerap mencuci tangan dan langkah kesihatan awam yang lain.

Secara prinsip, pemakaian pelitup muka perlu diutamakan bagi petugas kesihatan, individu tidak sihat, yang menunggu keputusan Covid-19 atau disahkan positif dan mereka yang menjaga individu disyaki atau pesakit Covid-19, selain individu berusia 60 tahun ke atas atau individu yang memiliki masalah kesihatan yang lain.

Di Malaysia, langkah kerajaan mewajibkan penggunaan pelitup muka sangat tepat kerana jumlah kes postif Covid-19 yang kembali meningkat.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggariskan dua jenis pelitup muka yang boleh digunakan iaitu pelitup muka perubatan dan bukan perubatan.

Kajian baharu bagi menentukan penggunaan 14 jenis pelitup muka mendapati pelitup muka perubatan menawarkan perlindungan lebih baik ke atas penyebaran titisan berbanding jenis fabrik, sementara bandana adalah jenis yang paling kurang berkesan.

Artikel Berkaitan:

Lazimnya, pelitup muka perubatan seperti N95 banyak digunakan kakitangan hospital.

Ia menghalang penyebaran titisan sehingga 0.1 peratus. Pelitup muka fabrik juga menyediakan perlindungan yang baik kerana menghapuskan 70 hingga 90 peratus semburan daripada percakapan biasa, bergantung pada jumlah lapisannya, manakala bandana hanya mengurangkan titisan lebih kurang 50 peratus.

Piawaian

Terpulanglah kepada kita untuk memilih jenis pelitup muka yang paling sesuai digunakan asalkan mematuhi piawaian ditetapkan, selain mengambil kira faktor seperti kos, keberkesanannya dan kemudahdapatan.

Walaupun menyedari kepentingannya, masih terdapat masyarakat yang tidak mengambil endah langkah kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan awam, selain lokasi sesak dan tidak bimbang disaman pegawai penguat kuasa yang membuat operasi walaupun menyedari risiko penularan Covid-19.

Pada 22 Januari sahaja, seramai 228 individu ditahan tidak memakai pelitup muka daripada keseluruhan kes melibatkan 660 individu atas pelbagai kes ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Alasan popular yang diberikan, antaranya tidak selesa, sukar berkomunikasi, hanya singgah sebentar dan pelitup muka tertinggal di dalam kenderaan.

Terdapat juga masyarakat yang mengambil enteng pemakaian pelitup muka dengan betul, antaranya menarik turun pelitup muka hingga ke dagu.

Ia boleh menyebabkan mulut dan hidung dijangkiti virus Covid-19 daripada kawasan dagu yang terdedah. Pemakaian pelitup muka dengan cara betul sangat penting terutama mereka yang bergejala.

Pastikan memakai pelitup muka bersaiz sesuai dengan muka, tidak menyentuh bahagian luar pelitup muka dan hidung serta mulut ditutup sempurna.

Sebagai iktibar, seramai 27 pelanggan sebuah cawangan Starbucks di Korea Selatan dijangkiti Covid-19 akibat seorang wanita tidak memakai pelitup muka.

Maka, demi memastikan kadar penularan dalam masyarakat kekal rendah, amat penting mempraktikkan pemakaian pelitup muka secara konsisten. Lakukanlah untuk diri sendiri, orang yang anda sayangi dan untuk masyarakat keseluruhannya.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia