Ubah kepada PdP bersemuka bantu pelajar kurang mampu

KPM boleh ubah suai masa instruksional bagi memenuhi keperluan pembelajaran kerana sukar untuk pihak sekolah menyusun kembali hari persekolahan yang ditutup sewaktu PKP.
KPM boleh ubah suai masa instruksional bagi memenuhi keperluan pembelajaran kerana sukar untuk pihak sekolah menyusun kembali hari persekolahan yang ditutup sewaktu PKP.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh menggunakan pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka kepada pelajar yang tidak mempunyai capaian internet yang baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan Ikram Malaysia, Profesor Dr Omar Yaakob berkata, perkara itu perlu dilakukan kepada pelajar yang mengalami masalah menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Beliau berkata, generasi yang tersisih tersebut perlu dipandang serius oleh KPM supaya tidak berlaku keciciran.

“PdP secara bersemuka boleh dilaksanakan bukan hanya untuk kelas peperiksaan tetapi kepada semua kelas dengan kaedah bergilir-gilir di mana murid dibenarkan hadir ke sekolah secara bergilir.

“Misalnya Tahun Lima dan Enam pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat, manakala Tahun Satu, Dua, Tiga pada hari Selasa dan Khamis sehingga keadaan benar-benar pulih. Giliran juga boleh dibuat mengikut minggu.

“Pendekatan berbeza perlu diusahakan bagi kawasan yang berlainan. Autonomi wajar diberikan kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah dengan nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah untuk membuat ubah suai proses Pendidikan, kurikulum dan PdP.

“Dengan itu, sekolah dapat diuruskan dengan lebih optimum,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Omar berkata, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengubah waktu pelajaran, sukatan hendaklah dilaksanakan mengikut kemampuan murid.

Artikel Berkaitan:

Pensyarah Jabatan Bahasa dan Komunikasi, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Madya Dr Che Hasniza Che Noh berpendapat guru dan ibu bapa perlu lebih kerap berhubung dan berinteraksi bagi melancarkan proses PdPR.

Katanya, media sosial boleh dijadikan sebagai medium komunikasi di antara guru dan ibu bapa bagi mengetahui pencapaian anak-anak serta perlu dimanfaatkan dengan sepenuhnya.

“Kita masih belajar macam mana nak sesuaikan dengan situasi yang baharu.

“Tapi dengan PKP 2.0 sepatutnya kedua-dua pihak sudah bersedia dan boleh menerima kaedah PdPR sekarang ini.

“Perkara itu juga perlu lebih sistematik dari segi penjadualan dan pemantauan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Annuar Ahmad menyifatkan pembelajaran melalui televisyen jperlu diberi keutamaan berbanding menggunakan internet.

Jelasnya, penggunaan televisyen perlu dibuat secara berjadual memandangkan akses pembelajaran daripada medium itu boleh mencecah hampir 90 peratus berbanding gajet kerana sebanyak 39.6 peratus pelajar tidak mempunyainya.

“Kalau anak ramai mungkin yang sekolah rendah pagi dan menengah sebelah petang, asalkan ia berjadual dan semua mendapat peluang,” jelasnya.