Didakwa sembunyi duit warga emas RM350,00

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Dua individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyembunyikan wang berjumlah RM350,000 milik seorang wanita warga emas, Ogos lepas.

Tertuduh, Mazlan Muharan, 24, dan Lim Siew Wai, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mazlan, didakwa menyembunyikan wang bernilai RM30,000 milik Boey Pick Fong, 75, seorang pesara guru ke akaun CIMB tertuduh dengan cara penipuan untuk melepaskan tuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram di Public Bank Cawangan Jalan Laksamana di sini, pada 8.41 malam, 20 Ogos lepas.

Siew Wai, didakwa menyembunyikan wang bernilai RM320,000 milik mangsa yang sama ke akaun Bank Rakyat tertuduh dengan cara dan tujuan sama di HSBC Bank Cawangan Jalan Hang Tuah di sini, pada 1.30 petang, 23 Ogos lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan Mazlan, tukang pasang pelamin dikenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala Lim bekas pekerja kilang RM15,000 dengan seorang penjamin.

Namun, Siew Wai merayu agar dikurangkan jaminan atas alasan dia merupakan ibu tunggal yang perlu menanggung empat orang anak, manakala Mazlan tidak menyatakan sebarang rayuan.

Majistret Kim Keat kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dengan seorang penjamin iaitu Mazlan RM10,000 dan Siew Wai RM5,000.

Mahkamah menetapkan 8 Jan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. - Bernama

Artikel Berkaitan: