Pesakit Covid-19 perlu lebih positif

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEHINGGA hari ini lebih daripada 185,000 orang telah dijangkiti virus Covid-19 di Malaysia.

Dijangka jumlahnya mencecah seramai 200,000 orang dalam tempoh kurang daripada seminggu.

Ketika virus Covid-19 mula merebak di Malaysia, kita cukup takut apatah lagi nampak ambulans datang ‘kutip’ pesakit yang tinggal berhampiran kawasan rumah kita.

Setelah hampir 10 bulan kita hidup dalam situasi cemas, hari ini wabak berbahaya itu terus menyerang dengan ganas tanpa rasa kasihan.

Sama ada kita sendiri, isteri, anak, saudara-mara, rakan sekerja atau kenalan rapat boleh dijangkiti virus tersebut melalui orang-orang di sekeliling.

Tidak terkecuali, orang-orang kenamaan yang berpangkat besar dan hidup mewah, menteri atau artis popular, pasti heboh jika mereka dilaporkan positif Covid-19.

Yang lebih menyakitkan hati kita apabila ada golongan VIP yang bersikap degil tidak mahu kuarantin seperti rasa tidak bersalah.

Lain pula bagi kebanyakan rakyat biasa. Mereka rasa malu dan seboleh-bolehnya tidak mahu beritahu sesiapa dia adalah pesakit Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Mereka seperti menyalahkan diri sendiri kerana tidak berjaga-jaga. Walaupun sudah pakai pelitup muka dan jaga penjarakan sosial, virus tetap hinggap ke badan.

Ada juga yang terkena jangkitan daripada saudara-mara atau kenalan sendiri. Rasa nak marah pun ada tapi demi menjaga hubungan, terpendam sajalah di dalam hati.

Sebenarnya walaupun sudah disahkan positif Covid-19, sikap kita perlulah lebih positif. Terkena jangkitan Covid-19 sebaliknya mengajar kita untuk lebih pentingkan kebersihan.

Sama ada diarah kuarantin di rumah atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), kita mesti menjadi pesakit yang patuhi peraturan dan penjagaan kesihatan.