Tak guna tukar nama

 B Sathianathan
B Sathianathan
A
A
A

MANA-mana pihak perlu mengambil pengajaran daripada kemelut yang berlaku dalam Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) terutamanya membabitkan dakwaan campur tangan politik.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, apa yang berlaku ketika ini memberikan gambaran masih ada pasukan Liga Malaysia (Liga-M) belum bersedia untuk bergerak ke arah penswastaan.

“Dalam perkara ini, pengurusan kelab perlu berfikir di luar kotak mencari dana. Jika masih mengharapkan dana daripada kerajaan negeri, maka inilah yang akan berlaku. Kita tidak boleh berfikir seperti FA... kita kena tukar pemikiran kita.

“Bukan kita nak memperlekehkan PAFA, tetapi apa yang berlaku kepada persatuan itu mungkin boleh diambil pengajaran oleh pasukan atau kelab lain yang masih bergantung harap kepada dana kerajaan atau orang politik.

“Kita tidak mahu perkara sebegini berulang nanti kerana sekarang pun memang masih banyak kelab yang mengharapkan dana daripada kerajaan negeri,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sejak beberapa hari lalu, arena bola sepak negara kembali bergegar dengan masalah gaji membabitkan pemain dan pegawai Perak FC termasuk pasukan lain di bawah naungan PAFA yang berjumlah RM3.8 juta.

Mengulas lanjut, Sathianathan menganggap isu yang membelenggu PAFA itu memberikan imej buruk kepada langkah penswastaan yang telah diwajibkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Untuk masa akan datang mungkin beberapa perkara boleh diperhalusi terutama individu yang akan memegang saham dalam FC. Sesiapa yang nak ambil alih perlu tahu tanggungjawab mereka selepas mengambil alih sesebuah pasukan bola sepak.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin ada orang politik atau mana-mana orang kenamaan yang mempunyai kemampuan untuk mengambil alih sesebuah kelab bola sepak. Tetapi kena terlebih dulu memahami bola sepak ini. Bukan hanya nak pegang pasukan untuk buat nama.

“Tengok saja pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, baginda adalah kerabat diraja tetapi memahami tentang bola sepak dan berjaya membawa pasukan menjadi lebih bagus.

“Kalau orang politik pula tengok cara (Tan Sri) Annuar Musa masa memimpin Kelantan dulu. Di bawah (kepimpinan) beliau, Kelantan menjadi sebuah pasukan hebat.

“Pokok pangkalnya adalah minat dan pemahaman mengenai bola sepak selain seseorang itu tahu cara untuk mencari dana melalui pemasaran dan sebagainya tanpa mengharapkan bantuan dana negeri,” jelasnya.