UMNO Perak wala' kepimpinan Zahid

Mohd Zolkafly
Mohd Zolkafly
A
A
A

IPOH - UMNO Perak akan terus menyokong dan wala' terhadap kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, sebagai sebuah parti yang sentiasa menjaga budi pekerti dan adab susilanya, ahli-ahli parti wajar menghormati institusi Presiden yang dipilih melalui perhimpunan agung.

Menurutnya, desakan terbuka pihak tertentu agar Presiden UMNO meletakkan jawatan disifatkan sebagai melanggar peradaban, tidak beretika serta tidak bermaruah.

“Tindakan mendesak ini yang didorong oleh kepentingan diri, dendam dan tidak bertanggungjawab telah menyebabkan pihak lawan mengambil kesempatan untuk memecah belahkan dan membangkitkan kegelisahan dalam kalangan ahli-ahli akar umbi.

“Ahli akar umbi penuh yakin UMNO mampu bangkit semula berasaskan kemenangan yang dicapai oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) yang telah diadakan," katanya dalam kenyataan akhbar pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO Seremban nafi terlibat pasang kain rentang tolak Ahmad Zahid

Beliau berkata, semua ahli perlu bersatu hati, saling bantu membantu serta memperkukuh dan memperkasakan institusi Presiden bagi menunjukkan kematangan serta perpaduan jitu kepada rakyat.

Katanya, tindakan itu sekaligus memberi ruang kepada UMNO untuk kembali memimpin dan menerajui semula kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Zolkafly berkata, UMNO Perak juga kecewa dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab memasang kain rentang mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan seperti yang ditemui di beberapa kawasan di Kuala Kangsar dan Tanjung Malim pada Ahad.

Katanya, tindakan itu disifatkan sebagai tidak beradab dan UMNO Perak menyokong laporan polis yang dibuat kedua-dua bahagian UMNO itu pada Isnin.