'Dia jaga hingga akhir hayat'

Gambar kenangan keluarga Hasbollah (dua dari kanan) ketika majlis perkahwinan Zulfahmi (empat dari kanan) yang dirakam sekitar 2017 lalu.
Gambar kenangan keluarga Hasbollah (dua dari kanan) ketika majlis perkahwinan Zulfahmi (empat dari kanan) yang dirakam sekitar 2017 lalu.
A
A
A

TAPAH - "Abang sangat menjaga kebajikan ayah dan emak, saat dia rebah semalam (Ahad) pun, tangannya masih dalam keadaan bersabun kerana sedang mandikan ayah," kata Nor Azlina Jawahir, 42, isteri kepada Zulfahmi Hasbollah, 46.

Dalam kejadian sekitar jam 10.50 pagi itu, Zulfahmi meninggal dunia selepas rebah dalam bilik mandi akibat serangan jantung ketika memandikan ayahnya pada pagi.

Lebih memilukan, ayah mangsa, Hasbollah Ahmad, 75, yang tidak upaya berjalan dan bercakap akibat sakit tua, meninggal dunia pada hari sama, selang 12 jam selepas kematian anaknya itu.

Nor Azlina berkata, arwah Zulfahmi yang merupakan anak kedua daripada lima beradik itu tidak pernah melepaskan tanggungjawab untuk menyiapkan dan memandikan ayahnya kepada orang lain.

"Sejak ayah sakit terlantar tahun lepas, itulah rutin dia, mandikan ayah dan siapkan ayah, kalau dia mahu keluar mana-mana pun, dia akan pastikan ada orang yang menjaga ayah di rumah.

"Ada ketika ayah dan emaknya pergi bermalam di rumah anak-anak yang lain, arwah akan mengadu yang dia rindu dan mahu mereka cepat-cepat pulang," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Baru Temoh Stesen, Temoh di sini pada Isnin.

Nor Azlina yang mendirikan rumah tangga bersama arwah sejak empat tahun lepas berkata, dalam segala hal, suaminya akan mendahului kebajikan kedua orang tuanya terutama keperluan ubat dan makanan.

"Arwah suami memang sangat sayangkan ayahnya. Dia seolah-olah tidak boleh berpisah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menceritakan detik kejadian, Azlina berkata, dia hanya menyedari keadaan suaminya, sebaik mendengar bunyi objek terhempas di bilik mandi.

"Saya segera bergegas ke bilik mandi dan nampak suami sudah terduduk dengan keadaan tubuh yang kejang.

"Tangannya ketika itu masih lagi bersabun kerana belum selesai mandikan ayah. Saya cuba memberikan bantuan pernafasan, namun tidak ada sebarang tindak balas.

"Melihat keadaan itu, ayah yang duduk di kerusi roda cuba untuk membantu, namun tidak berdaya menyebabkannya jatuh tersembam di lantai bilik mandi," katanya.

Dia berkata, bapa mentuanya yang mengalami luka di dahi, bibir dan kening selain patah hidung dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan manakala suaminya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di rumah.

"Ayah dibenarkan pulang pada petang hari yang sama dan sebaik mengetahui bahawa arwah sudah tiada, dia hanya mengalirkan air mata.

"Menjelang malam keadaan kesihatannya bertambah merosot sehinggalah sekitar jam 10 malam, ayah menghembuskan nafas terakhir di hadapan anak-anak," katanya.

Dalam pada itu, Salasiah Yaacob, 64, reda dengan pemergian suami serta anak lelakinya itu dan menganggap ia sebagai ketentuan ALLAH.

Katanya, kehilangan dua insan tersayang serentak memang begitu memilukan, namun perlu dihadapi dengan penuh sabar dan tenang.

"Sedih itu sudah tentu, namun semua ini sudah ketentuan ALLAH dan kami menerimanya dengan reda," katanya.

Kedua-dua jenazah telah dikebumikan secara bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Temoh Stesen di sini masing-masing pada petang Ahad dan pagi Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak, bapa meninggal selang beberapa jam