X

Kindly register in order to view this article
!

SGK2F minta kerajaan perjelas mengenai pengambilalihan FGV

Felda
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Suara Generasi Ke-2 Felda (SGK2F) meminta kerajaan dan pengurusan Felda supaya menyelesaikan masalah dan kekeliruan yang dihadapi oleh warga peneroka berhubung hala tuju dan objektif pengambilalihan FGV Holdings Berhad (FGV).

Timbalan Pengerusi SGK2F, Jamaluddin Ahmad berkata, meskipun pihaknya menyokong rancangan pengambilalihan yang dibuat menerusi penguasaan pegangan saham itu, namun ramai dalam kalangan warga Felda didapati keliru dan tidak pasti mengenai rancangan tersebut.

Bagi menyelesaikan perkara tersebut, Jamaluddin berkata, pihaknya telah menggariskan tiga tindakan yang perlu diambil tindakan segera oleh agensi itu.

"Pertama, Felda perlu menyelesaikan dapatan Laporan Ketua Audit Negara berkenaan nilai hutang yang tidak dapat disahkan dan tidak dapat dikenal pasti dalam penyata hutang peneroka.

"Penyata hutang peneroka ini termasuk hutang pinjaman sara hidup, pengurusan ladang dan hutang sosial yang mana masih terdapat baki hutang saham FGV dan masalah lebihan potongan hutang yang masih tidak dikembalikan kepada peneroka.

“Perkara kedua adalah Felda perlu membentangkan perbelanjaan sukuk berjumlah RM9.9 bilion dan menjelaskan kos pengambilalihan FGV," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jamaluddin berkata, perkara ketiga yang perlu dibuat adalah membentangkan rancangan perniagaan selepas pengambilalihan FGV dan meyakinkan bahawa pengambilalihan dapat memulihkan aliran tunai serta memberi faedah kepada warga Felda.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya bimbang akan berlakunya kemerosotan keyakinan kepada kerajaan dan Felda meskipun terdapat banyak komitmen yang diberikan oleh menteri dan juga pengerusi agensi itu kepada warganya berkenaan muktamad penyata hutang dan penyelesaian masalah berbangkit.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan pengurusan Felda supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan inisiatif yang direncanakan dapat berjalan dengan lancar dan mencapai objektifnya iaitu mengembalikan kegemilangan serta mengekalkan kelestarian agensi itu.

Terdahulu, Felda mengumumkan untuk mengambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV dalam usaha untuk mengukuhkan kembali kedudukan kewangannya dan usaha itu mendapat sokongan pelbagai pihak serta dilihat mampu membawa Felda lebih maju.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!