X

Kindly register in order to view this article
!

Selesai segera isu peningkatan harga makanan, bekalan bahan mentah

Mohamad Hasan
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah harga makanan terutama bekalan bahan mentah yang dilihat semakin membebankan orang ramai.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara yang lebih membimbangkan kini ialah trend harga barangan berterusan naik dengan pelanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

Beliau berkata, sesuatu perlu dilakukan segera untuk mengatasi masalah berkenaan kerana dasarnya bukan sekadar memastikan bekalan cukup tetapi juga memastikan harga makanan selari dengan kuasa beli rakyat.

Menurutnya, begitu ramai rakyat Malaysia telah kehilangan mata pencarian akibat pandemik Covid-19, malah kuasa beli segelintir rakyat berada pada tahap yang genting.

Katanya, tanpa intervensi kerajaan, mereka bukan sahaja akan miskin tetapi juga hidup dalam keadaan lapar dan tidak mempunyai cukup makanan.

"Tindakan dan inisiatif pemantauan harga makanan dan bekalan barangan keperluan asas mesti segera dipertingkatkan.

"Selain itu, kerajaan juga juga boleh menggalak dan menghulurkan bantuan untuk pertanian bandar kerana rata-rata penduduk negara ini terutamanya mereka yang menetap di bandar boleh menerima pakai konsep 'edible garden' di kediaman mereka.

"Gunakan tanah lapang di persekitaran rumah untuk menanam sayuran termasuk menanamnya dalam pasu, malah penanaman sayur-sayuran di rumah mampu mengurangkan kos sara hidup seharian dan memudahkan akses kepada bekalan sayuran segar tanpa kebimbangan penyebaran Covid-19 di pasar raya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Mohamad ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin berkata, bagi golongan rentan, pemberian baucar makanan dan barangan runcit juga boleh dipertimbangkan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, negara luar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan banyak lagi sudah lama melaksanakan intervensi ‘food stamp’ dan pemberian baucar barangan perlu, cuma Malaysia sahaja tidak mempraktikkan cara berkenaan.

"Pemberian baucar ini bukan perkara baharu cuma ia tidak dilaksanakan di negara ini.

"Ia juga bukan dalam bentuk wang tetapi bentuk baucar yang diperuntukkan dalam jumlah tertentu khusus untuk diberikan kepada golongan rentan ini untuk bawa ke mana-mana kedai runcit bagi mendapatkan barangan keperluan dan makanan.

"Jadi dalam situasi kritikal seperti sekarang, dengan ramai rakyat yang terjejas tiada pendapatan, hilang pendapatan ditambah pula harga barangan yang terus meningkat, pemberian baucar makanan dalam bentuk barangan runcit ini sangat membantu," katanya.

Mohamad berkata, baucar sedemikian bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan keluarga yang paling terhimpit, ia juga dapat menjana pendapatan pemilik dan pengusaha kedai runcit.

"Bantuan tersebut secara langsung juga akan meningkatkan pengguna agregat dan membantu peniaga kecil, pengusaha pasar raya serta restoran kerana berlaku putaran ekonomi.

"Malah dengan pemberian baucar ini dapat atasi masalah salah guna bantuan. Jika sebelum ini, kalau kerajaan bagi bantuan duit mungkin tidak semua memanfaatkan untuk kegunaan keperluan mereka, tapi dengan pemberian baucar, penerima hanya boleh menggunakannya untuk mendapatkan barangan keperluan dan makanan sahaja," katanya.

Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan juga meminta kerajaan untuk membuat penyelarasan bantuan kepada rakyat terjejas dengan secepat mungkin kerana ketika ini terlalu banyak bantuan diberikan oleh pelbagai agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal, institusi zakat dan sebagainya.

"Penyelarasan perlu ada supaya bantuan itu betul-betul sampai kepada penerima yang memerlukan bagi mengelak orang yang sama menerima sampai tiga bantuan dan ada pula yang langsung tidak dapat walaupun layak.

"Agensi-agensi terlibat juga perlu proaktif dan kena ada sistem untuk mengesan orang-orang yang terjejas ini. Kena keluar dan cari mereka untuk beri bantuan," katanya.

Tegas beliau, jika kerajaan mempunyai sistem yang selaras untuk menyalurkan bantuan, rakyat yang susah akan berasa lebih selesa.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!