Covid-19: Hanya 30 orang boleh hadir upacara pengebumian

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Hanya 30 orang dibenarkan hadir pada upacara pengebumian di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) di negeri ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini.

JPBN, dalam kenyataan, memaklumkan jumlah individu yang hadir di tapak pengebumian sepanjang tempoh PKP dan PKPB juga dihadkan kepada 20 orang.

Memperincikan pandemik Covid-19 di negeri itu, JPBN menyatakan angka kematian akibat jangkitan Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 30 kes pada Isnin, selepas dua lagi kematian dilaporkan dengan 120 kes baharu dicatatkan, menjadikan keseluruhan kes sebanyak 3,499.

Menurut JPBN, kes kematian ke-29 merupakan kes ke-2,855, melibatkan seorang wanita tempatan berusia 72 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Sibu semalam, disebabkan kesukaran bernafas dan telah diintubasi bagi bantuan pernafasan.

“Saringan ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) adalah positif Covid-19. Keadaan kesihatan pesakit merosot dan disahkan meninggal dunia pada 1.51 pagi hari ini di Hospital Sibu. Kes ini juga mempunyai ko-morbid iaitu penyakit darah tinggi, obesiti dan penyakit paru-paru kronik,” menurut kenyataan itu.

Kes kematian ke-30 pula melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu pada 19 Jan lepas disebabkan kesukaran bernafas akibat lebihan air dalam badan berpunca daripada ko-morbid penyakit buah pinggang kronik.

“(Ujian) saringan Covid-19 di hospital adalah positif. Kes telah disahkan meninggal dunia hari ini pada 8.14 pagi di Hospital Sibu. Kes ini juga mempunyai ko-morbid iaitu penyakit darah tinggi, dislipidemia dan kencing manis,” menurut JPBN.

Selain itu, kes baharu positif Covid-19 di Sarawak yang dikesan pada Isnin melibatkan 52 kes di Sibu, 11 di Subis, 10 di Miri, masing-masing sembilan di Dalat dan Bintulu, Kanowit (enam), Samarahan (lima), Julau (lima) dan Song (tiga).

Artikel Berkaitan:

Kuching dan Kapit masing-masing mencatatkan dua kes, sementara Sarikei, Pakan, Selangau, Lubok Antu, Telang Usan dan Serian masing-masing satu kes. - Bernama