Hospital swasta Pulau Pinang mula terima pesakit Covid-19

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Beberapa hospital swasta di Pulau Pinang telah mula menerima pesakit Covid-19 bagi meringankan beban yang ditanggung oleh hospital kerajaan dalam usaha memerangi pandemik ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang sedang meneruskan perbincangan lanjut dengan pusat perubatan, persekutuan dan agensi lain bagi rawatan serta saringan pesakit Covid-19 pelbagai kategori.

"Kerajaan juga sedang meneliti lokasi baharu bagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berisiko Rendah," menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara telah mengadakan lawatan tapak pada Sabtu lepas ke Pusat Kecemerlangan MARA di Jawi, Seberang Perai Selatan berhubung permohonan Pulau Pinang bagi pembukaan PKRC Berisiko Rendah sebelum ini.

Katanya, kerajaan sedang memfokus kepada pencegahan kluster yang berpunca daripada tempat kerja terutama membabitkan sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan khususnya penguatkuasaan di tempat penginapan serta logistik pekerja.

Terdahulu, Kon Yeow menghadiri Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sidang video. - Bernama

Artikel Berkaitan: