PGA gagalkan cubaan seludup lembu, barangan runcit

Kesemua barangan runcit seludup disembunyikan di bahagian tengah kenderaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Kesemua barangan runcit seludup disembunyikan di bahagian tengah kenderaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Cubaan menyeludup tujuh ekor lembu dan pelbagai barangan runcit bernilai RM118,730 digagalkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu dalam dua serbuan berasingan di sini pada Ahad.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusoff berkata, rampasan keseluruhan lembu dan barang seludup itu termasuk lori dianggarkan berjumlah RM278,730.

"Serbuan pertama pada jam 12.30 tengah malam di sebuah kawasan ladang berhampiran Kampung Rahmat, Lubok Stol di sini apabila kita berjaya merampas tujuh ekor lembu.

"Selain itu, sebuah lori yang digunakan untuk aktiviti tersebut turut dirampas membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM110,000," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau bagaimanapun berkata, kesemua suspek berjaya meloloskan diri sejurus menyedari kehadiran anggota PGA.

Sementara itu, katanya, serbuan kedua jam 6.40 petang apabila pelbagai barangan runcit seperti beras, beras pulut dan tepung beras berjaya dirampas selepas pihaknya menahan sebuah lori berhampiran Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini.

Selain itu, katanya, seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung rampasan tersebut.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan dijalankan, kesemua barangan runcit itu telah disembunyikan di bahagian tengah kenderaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, taktik itu berjaya dihidu anggota PGA dan nilai keseluruhan rampasan termasuk lori berjumlah RM168,730," katanya.

Nor Azizan berkata, kejayaan rampasan itu hasil rondaan rutin, pemerhatian serta maklumat awam.

Menurutnya, kawalan sempadan menerusi Ops Benteng Covid-19 bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga ke Rantau Panjang akan terus diperketatkan dari semasa ke semasa.