Serang jiran guna tukul besi, pisau gara-gara pagar

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas diserang suspek.
Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas diserang suspek.
A
A
A

BUTTERWORTH - Dua beranak warga Nepal cedera diserang lelaki warga Indonesia yang juga jiran mereka dalam kejadian berkaitan pagar rumah di Kampung Bagan Jermal di sini pada malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 10 malam itu mangsa berusia 29 tahun baharu pulang ke rumahnya selepas membeli sireh dan mendapati pintu pagar rumah berkunci.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan lelaki berkenaan marah sebelum jirannya itu keluar dan berlaku pertengkaran antara mereka.

"Pertengkaran itu bertukar menjadi pergaduhan sebelum suspek mengambil penukul besi dan pisau lalu menyerang mangsa.

"Bapa mangsa berusia 60 tahun yang melihat kejadian itu cuba meleraikan pergaduhan namun dia juga diserang suspek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Noorzainy berkata, akibat kejadian itu mangsa mengalami luka di kepala dan belakang badan manakala bapanya luka di dagu.

Katanya, pergaduhan itu berjaya dileraikan orang awam dan suspek kemudian melarikan diri.

"Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, siasatan awal mendapati insiden itu berlaku disebabkan mangsa memarahi suspek kerana mengunci pintu pagar berikutan rumah mereka berkongsi pintu pagar yang sama.

Tambahnya, polis kini sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.