Pinda akta kualiti alam ikut keperluan semasa

Laporan Sinar Harian pada Isnin.Gambar kecil: Shariffa Sabrina Syed Akil
Laporan Sinar Harian pada Isnin.Gambar kecil: Shariffa Sabrina Syed Akil
A
A
A

GOMBAK - Peruntukan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Perhutanan Negara 1984 perlu dipinda dan dikaji semula mengikut keperluan semasa.

Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, banyak kerosakan rumah dan infrastruktur, tanah runtuh serta gangguan biodiversiti disebabkan pembangunan dan pembukaan tanah yang tidak terkawal.

"Pinda dan kaji akta pelesen serta penjenayah alam yang memanipulasikan kawasan kuari, lombong dan pembalakan termasuk yang sengaja melanggar ulasan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

"Ada yang ingkar menjalankan kerja mitigasi yang harus dilakukan sebelum dan selepas mendapat kelulusan pembukaan tanah, sama ada hutan simpan atau tanah negeri terutama yang melibatkan sungai dan pembangunan sekitarnya," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Sinar Harian 'Sungai UIAM dipenuhi lumpur, alam tercemar lagi' pada Isnin.

Laporan menyebut, aktiviti penerokaan tanah yang berleluasa di Sungai Pusu menyebabkan sungai yang mengalir di dalam kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak dekat sini tercemar apabila airnya menjadi cetek dan dipenuhi lumpur.

Mengulas mengenai perkara itu, beliau mendakwa, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat tanah di Selangor dilihat lemah berkaitan aspek penguatkuasaan.

"PEKA bimbang walaupun adanya undang-undang baru kelak, jika agensi penguatkuasaan gagal menjalankan tugas seperti diamanahkan maka kerosakan kepada alam sekitar akan berterusan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam hal Sungai Pusu, setiap kali aduan dibuat, arahan memberhentikan kerja dikeluarkan hanya untuk operasi melombong pasir sungai sahaja," katanya.

Katanya, banjir yang melanda kawasan UIAM dan kawasan sekitar ini jelas berpunca aktiviti pembersihan kawasan hutan dan sungai.

"Adakah Yang Dipertua MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor menafikan perkara ini dan menyalahkan jumlah hujan yang tinggi sahaja sebagai punca banjir?

"Rakyat bergantung kepada pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang dialami oleh penduduk sekitar kawasan Sungai Pusu namun perkara ini tidak diatasi dengan cekap dan pantas," katanya.

Katanya, PEKA berharap, semua aktiviti pembersihan kawasan hutan dan aktiviti perlombongan pasir sungai akan dihentikan segera dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak supaya alam sekitar dapat dijaga bagi perlindungan dan keperluan generasi yang akan datang.