X

Kindly register in order to view this article
!

Polis nafi dokumen penting, barang kes musnah

Kebakaran melibatkan 40 peratus bilik siasatan jenayah narkotik di IPD Timur Laut dalam kejadian pagi Isnin.
A
A

GEORGETOWN - Polis menafikan dakwaan kononnya dokumen siasatan penting serta barang kes musnah dalam kejadian kebakaran di Bilik Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian itu tidak akan menjejaskan siasatan kes baharu atau yang sedang dalam perbicaraan mahkamah.

Menurutnya, ia berikutan isi kandungan dokumen yang musnah dalam kebakaran tersebut telah dimuat naik dalam sistem maklumat Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini.

"Saya ingin membuat penjelasan bahawa insiden kebakaran ini tidak melibatkan kemusnahan dokumen-dokumen penting penyiasatan termasuk barang-barang kes. Ia juga tidak akan menjejaskan sama ada kes yang masih dalam siasatan atau kes yang sedang dalam perbicaraan di mahkamah.

"Isi kandungan dokumen-dokumen yang musnah dalam kebakaran tersebut juga telah dimuat naik dalam sistem maklumat PDRM sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Soffian berkata, pihaknya meminta orang ramai menghentikan komen berbentuk andaian berhubung kebakaran itu yang boleh menimbulkan persepsi tidak sihat dalam kalangan masyarakat umum.

"Ini kerana, ada di antara mereka telah membuat andaian kononnya kejadian ini disengajakan bagi tujuan penghapusan bahan bukti agar pesalah dapat terlepas dari pendakwaan atau hukuman," katanya.

Dalam kejadian pada jam 7.50 pagi, Isnin, Bilik Siasatan Jenayah Narkotik di bangunan empat tingkat di IPD Timur Laut terbakar.

Akibat kebakaran tersebut, beberapa fail pentadbiran dan peralatan fotografi serta peralatan elektrik seperti komputer dan alat penghawa dingin telah musnah.

Bagaimanapun, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Siasatan berkaitan punca kebakaran masih dijalankan oleh pihak Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

ARTIKEL BERKAITAN: Bilik Siasatan Jenayah Narkotik IPD Timur Laut terbakar


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!