Doakan Koperal Azmi segera sembuh

Noorzainy (dua dari kiri) ketika menziarahi Koperal Azmi di kediamannya di Taman Bertam Perdana pada Isnin.
Noorzainy (dua dari kiri) ketika menziarahi Koperal Azmi di kediamannya di Taman Bertam Perdana pada Isnin.
A
A
A

KEPALA BATAS - Keperitan hidup Koperal Azmi Kamarudin yang menghidap barah rahang mulut terubat apabila menerima kunjungan rakan setugasnya daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini pada Isnin.

Walaupun keadaannya lesu dan hanya mampu terbaring di atas katil, namun Azmi, 34, mampu mengukir senyuman selepas mengetahui rakan-rakannya hadir menziarahinya.

Isterinya, Koperal Noor Ifa Md Sukari, 36, berkata, suaminya pernah meluahkan hasrat untuk bertemu kembali dengan rakan sekerjanya yang bertugas di Balai Polis Kepala Batas selepas keadaannya semakin tenat.

Menurutnya, hasrat suaminya itu yang bertugas di Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai pihak.

“Saya cuma memaklumkan secara dalaman tetapi menjadi tular namun reaksi suami apabila menerima kunjungan rakan-rakannya menunjukkan dia sangat gembira dan mengenali mengenali mereka.

“Mungkin dia ingin mencari semangat dan doa dari rakan-rakannya kerana penyakit yang dialaminya,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Bertam Perdana, di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy hadir menziarahi Azmi pada Isnin.

Menceritakan mengenai keadaan kesihatan suaminya, Noor Ifa berkata, Azmi pernah menjalani pembedahan pada 2012 selepas terdapat ketumbuhan di bahagian gigi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, satu lagi ketumbuhan dikesan di bahagian mata berhampiran otak pada 2018.

“Ketumbuhan itu dibuang ketika mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) namun lama kelamaan merebak sehingga menjadi kanser menyebabkan keadaan kesihatan suami semakin merosot.

"Suami saya dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) pada Jumaat lalu selepas mengalami sesak nafas tetapi doktor menasihatkan supaya dibawa pulang kerana keadaan Covid-19 yang boleh membahayakan nyawanya," katanya.

Noor Ifa berkata, dia hanya menuruti nasihat doktor dan bersyukur kedua ibu bapa mentuanya dari Sarawak datang ke Pulau Pinang untuk memberi semangat kepada anak mereka.

Katanya, mereka juga berhasrat membawa pulang suami ke kampung untuk dirawat di sana.

Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya sebelum itu sudah beberapa kali menziarahi Azmi selepas mendapat khabar mengenai penyakit dialami anggota polis terbabit.

Katanya, mengenai permintaan untuk membawa pulang Azmi ke Sarawak bagi mendapatkan rawatan di sana, beliau akan meminta isterinya mendapatkan surat daripada doktor sebelum membuat tindakan lanjut.