21 ahli sindiket pelaburan saham tidak wujud dicekup

Sahabudin (tengah) menunjukkan 453 buah telefon bimbit yang dirampas.
Sahabudin (tengah) menunjukkan 453 buah telefon bimbit yang dirampas.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menahan 21 individu dipercayai ahli sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian dalam serbuan di dua buah rumah mewah di Batu Feringghi pada Sabtu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, penahanan itu dibuat selepas polis menahan dua lelaki termasuk warga China dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19 di Jalan Batu Feringghi di sini.

Menurutnya, mereka ditahan dalam sebuah kereta Honda City yang ketika itu berada dalam keadaan mencurigakan pada jam 7 malam.

"Polis kemudiannya menyerbu dua buah banglo tiga tingkat di Batu Feringghi dan menahan 12 individu termasuk seorang wanita tempatan.

"Selain itu, kita turut menahan empat lelaki dan tiga wanita warga China. Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 23 hingga 37 tahun," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Beliau berkata, polis turut merampas dua buah kereta dan peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penipuan pelaburan iaitu 453 buah telefon bimbit, sembilan buah komputer riba, lima buah kabel komputer dan sebuah Ipad.

"Modus operandi sindiket ini ialah membuat tawaran pelaburan saham dalam talian yang disyaki tidak wujud kepada pelabur di China.

"Ahli sindiket tersebut menggunakan aplikasi WeChat untuk berinteraksi dengan pelabur (mangsa) dan membuat tawaran pelaburan, mengemaskini pelaburan dan urusan pembayaran," katanya.

Menurutnya, sindiket tersebut dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Mereka akan menyewa rumah mewah dengan kawalan keselamatan yang tinggi bagi mengelakkan kegiatan haram itu dihidu pihak berkuasa. Sindiket ini juga mempunyai rangkaian di beberapa buah negeri lain dengan menjalankan modus operandi yang sama.

"Sindiket itu menjalankan operasi di Malaysia bagi mengelak dikesan dan dikenakan hukuman mengikut undang-undang di China kerana mangsa mereka mereka ialah rakyat negara itu," katanya.

Sahabudin berkata, ahli sindiket itu menerima bayaran atau gaji antara RM2,000 hingga RM4,000 setiap bulan untuk menjalankan kegiatan haram mereka.

"Siasatan mendapati, semua suspek yang ditahan itu berperanan sebagai operator untuk mengiklankan pelaburan saham dan menghubungi mangsa bagi menawarkan 'skim pelaburan'.

"Sindiket ini juga menggunakan akaun bank di China untuk setiap transaksi dan kita sedang menjalankan siasatan lanjut nilai kerugian dialami mangsa dan dalang di sebalik kegiatan haram ini," katanya.

Katanya, empat daripada warga China yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri manakala empat lagi sudah tamat tempoh.

"Kita sedang membuat semakan lanjut dengan Jabatan Imigresen Malaysia berhubung perkara tersebut.

"Semua suspek direman untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu manakala lapan warga China turut disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63," katanya.