KRPPM tolak cadangan laksana depoh tahanan sementara

Azalina Othman Said
Azalina Othman Said
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) menolak cadangan kerajaan untuk mewujudkan depoh tahanan sementara sebagai langkah mengurangkan kesesakan di penjara.

KRPPM dalam satu kenyataan yang diwakili Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah menambah bilangan penjara atau membuka pusat tahanan sementara itu akan memburukkan lagi keadaan.

Beliau berkata, KRPPM bimbang langkah tersebut akan meningkatkan lagi penularan wabak Covid-19 dalam kalangan kluster penjara.

"Cadangan ini akan menimbulkan masalah logistik dan limitasi sumber kerana banduan yang dipindahkan ke tempat baharu perlu menjalani saringan dan diasingkan terlebih dahulu sebelum dibenarkan berinteraksi bersama pihak di penjara baharu," kata KRPPM menerusi portal Malaysiakini pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, KRPPM berkata, langkah itu juga akan menjejaskan keperluan asas tahanan.

“Antaranya ialah kelengkapan perlindungan keselamatan, pembersih tangan, barang keperluan diri dan bekalan ubat harian bagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan dan kekurangan sumber manusia seperti pegawai kesihatan terlatih,” katanya.

Dalam kenyataan sama, KRPPM turut menolak keputusan kerajaan menjatuhkan hukuman penjara terhadap mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pendekatan ini bukan sahaja menambah kesesakan penjara tetapi akan melewatkan proses pembebasan awal banduan yang layak berdasarkan program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, KRPPM turut mengulangi pendirian berdasarkan fakta bahawa kerajaan perlu menyegerakan pembebasan awal atau bersyarat di seluruh penjara dan tempat tahanan seperti mana yang dicadangkan oleh Jabatan Penjara.

“Sebagai permulaan, Jabatan Penjara telah mengenalpasti seramai 11,018 orang banduan dengan kesalahan ringan dan tempoh hukuman kurang setahun yang layak mendapat PBSL seperti yang telah diperuntukkan dalam undang-undang sedia ada.

"Kerajaan tidak perlu untuk meminda undang-undang sedia ada bagi tindakan dan pelaksanaan segera.

“Mereka yang telah dikenalpasti seramai 11,018 orang ini akan digabungkan dengan program reintegrasi dengan masyarakat untuk memastikan hubungan dan sokongan pertolongan kepada banduan setelah dibebaskan,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu, KRPPM juga menggesa kerajaan mengkaji hukuman alternatif bagi kesalahan pelanggaran perintah PKP di mana kerajaan boleh meningkatkan jumlah denda kepada syarikat atau majikan dan memperkenalkan hukuman khidmat masyarakat kepada pesalah.

Katanya, jika tindakan dibuat sekarang tidak berdasarkan fakta, berbilion-bilion ringgit terpaksa dilaburkan untuk menampung kos pencegahan wabak secara meluas dalam kalangan rakyat Malaysia memandangkan negara kini berdepan dengan saat kritikal untuk melawan pandemik.

"Justeru, kerajaan perlu memberi sokongan kepada Jabatan Penjara untuk melaksanakan pembebasan awal banduan seperti yang dicadangkan dan mencegah penularan Covid-19 di tempat tahanan dengan kadar segera,” katanya.