X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Buruh Bangladesh didenda RM500 ingkar PKP 2.0

A
A

PETALING JAYA - Seorang buruh binaan warga Bangladesh didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini susulan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 kerana mahu berjumpa rakan pada hari pertama penguatkuasaannya.

Shahabuddin, 32, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret M Barath.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dihukum penjara sehari jika gagal membayar denda berkenaan.

Shahabuddin didapati bergerak dari Jalan Teknologi 3/6, Kota Damansara ke Plaza Tol Damansara iaitu dalam kawasan jangkitan pada jam 2.10 petang, 13 Januari lalu.

Dia didapati melanggar Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 16(1) Peraturan sama yang membawa hukuman maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Kenny Tan Cheng Yee yang mewakili Shahabuddin merayu agar anak guamnya dikenakan denda yang ringan tanpa hukuman penjara atas alasan perlu menyara ibu.

"Dia direman sejak 12 hari lalu dan ia sudah cukup untuk menjadi pengajaran, agar dia tidak mengulangi kesalahan sama.

"Ketika kejadian, dia memandu kereta sendirian untuk ke Kelana Jaya dengan alasan mahu mencari kawan," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid mencadangkan mahkamah memberi hukuman setimpal sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan.

Pada hari kejadian, Shahabuddin memandu kereta jenis Toyota Unser seorang diri, ditahan sepasukan polis di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Kota Damansara. Dia ditahan polis selepas gagal menunjukkan sebarang surat kebenaran bekerja.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!