PdPR: BBM Kedah sasar kutip RM40,000 bantu pelajar miliki tablet

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Briged Bakti Malaysia (BBM) Kedah menyasarkan kutipan sebanyak RM40,000 untuk menyediakan tablet bagi membantu pelajar di daerah Sik supaya tidak keciciran mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Yang Dipertua BBM Kedah, Md Tahir Saad berkata, pihaknya mendapati terdapat segelintir pelajar di kawasan berkenaan tidak berkemampuan memiliki tablet untuk kegunaan mereka belajar.

"Kami menerima makluman daripada beberapa pihak bahawa ada pelajar khususnya golongan miskin dan anak yatim berdepan masalah mengikuti sesi pembelajaran dalam talian kerana kekangan menyediakan tablet.

"Susulan itu, pihak kami dengan kerjasama Kelab Anak-Anak Sik Kedah (KAAS) mengambil inisiatif memohon sumbangan berkenaan apabila menyedari permasalahan dihadapi mereka. Alhamdullilah, kami telah menerima kira-kira RMRM4,170 sumbangan setakat ini selepas dua tiga dilancarkan dan diharapkan dapat mencapai sasaran ditetapkan secepat mungkin," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, usaha berkenaan diharap mendapat perhatian pelbagai pihak samada orang awam ataupun syarikat korporat bagi memastikan tiada pelajar yang keciciran dalam pelajaran.

"Untuk peringkat permulaan, kami mulakan kutipan dana dengan sasaran awal untuk membantu 100 anak yatim dan miskin yang dikenalpasti di daerah Sik," katanya.

Sumbangan dana untuk tablet berkenaan boleh disumbangkan melalui akaun Maybank Briged Bakti Malaysia Cawangan Negeri Kedah 5521 8952 1668 atas nama Tablet Asnaf Sik dan resit sumbangan boleh dihantar menenusi WhatsApp 011-53526769 (Setiausaha BBM Daerah Sik - Zakaria)

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mendedahkan ada ibu bapa mengeluh tidak mampu menyediakan keperluan mencukupi untuk mengikuti PdPR.

Artikel Berkaitan: