X

Kindly register in order to view this article
!

Sindiket dadah antarabangsa tumpas di Melaka

Abdul Majid (tengah) menunjukkan bungkusan dadah yang disimpan dalam plastik teh pada sidang akhbar di IPK Melaka pada Isnin.
A
A

MELAKA - Satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka dan Bukit Aman dalam serbuan berasingan di daerah ini pada Khamis.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 54 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM2.08 juta.

Menurutnya, kegiatan itu terbongkar apabila anggota polis peronda melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang memindahkan barang dari but belakang sebuah kereta jenis Mercedes Benz ke dalam kereta Volkswagen Passat.

Katanya, lelaki itu kemudian memandu Volkswagen Passat berkenaan dan memecut laju.

"Anggota polis mengejar kereta tersebut, namun gagal dan berpatah balik untuk membuat pemeriksaan ke atas Mercedes Benz yang ditinggalkan.

"Pemeriksaan mendapati terdapat dua guni plastik mengandungi 24 peket plastik teh berwarna hijau dan satu beg berzip mengandungi tujuh peket plastik sama yang disyaki dadah jenis syabu seberat 33.043 kilogram bernilai RM1.24 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini pada Isnin.

Bungkusan dadah jenis syabu yang dirampas bernilai RM2.08 juta.
Bungkusan dadah jenis syabu yang dirampas bernilai RM2.08 juta.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun berjaya memberkas lelaki berkenan di sebuah pangsapuri di Klebang di sini.

Katanya, turut ditemui bersama lelaki berusia 32 tahun itu ialah sebanyak 21,386 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM840,000 dalam rumah terbabit.

"Berikutan penahanan suspek pertama, serbuan berasingan yang dijalankan telah memberkas lima lelaki termasuk dua warga Indonesia dalam tempoh kurang 24 jam.

"Empas suspek tempatan yang ditangkap merupakan penganggur, manakala dua warga asing itu merupakan nelayan dan berasal dari Pulau Rupat, Indonesia. Semua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Tambah beliau, kesemua dadah yang dirampas dipercayai dibawa masuk ke negeri ini sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuat kuasakan sebagai lokasi transit bagi pengedaran antarabangsa.

Menurutnya, dadah yang dirampas itu mampu menampung keperluan untuk 100,000 sehingga 150,000 orang penagih dadah dan negeri ini dipercayai dijadikan sebagai lokasi transit bagi sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Abdul Majid menunjukkan sebuah bot yang dirampas dipercayai digunakan dalam kegiatan pengedaran dadah sindiket itu pada sidang akhbar di IPK Melaka pada Isnin.
Abdul Majid menunjukkan sebuah bot yang dirampas dipercayai digunakan dalam kegiatan pengedaran dadah sindiket itu pada sidang akhbar di IPK Melaka pada Isnin.

"Polis juga menyita sebuah bot nelayan, dua buah motosikal dan empat buah kereta bernilai RM179,000 yang disyaki digunakan dalam kegiatan ini," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman sehingga 29 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!