Kapal bawa minyak ditahan berlabuh tanpa kebenaran

Kapal tangki yang dikesan berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pulau Buloh.
Kapal tangki yang dikesan berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pulau Buloh.
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan sebuah kapal tangki yang berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 4.4 batu nautika selatan Pulau Buloh pada Sabtu.

Kehadiran kapal berkenaan disedari bot Penggalang 13 yang sedang melaksanakan rondaan Op Pintas di sekitar perairan pada jam 1.15 petang.

Pengarah APMM Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kapal yang berdaftar di Sierra Leone itu membawa muatan minyak dalam perjalanan dari Linggi Melaka ke Indonesia bersama 23 kru terdiri daripada warga India, Bangladesh, Pakistan dan Sri Lanka.

"Kapal tersebut telah ditahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) kerana disyaki melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut.

"Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita pada Isnin.

Menurutnya, kesemua kru berusia sekitar 30 hingga 65 tahun bersama kapal kini ditahan di ‘South East Point’ (SEP) Pulau Pangkor bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Seramai 23 kru terdiri daripada warga India, Bangladesh, Pakistan dan Sri Lanka bersama kapal ditahan untuk siasatan.
Seramai 23 kru terdiri daripada warga India, Bangladesh, Pakistan dan Sri Lanka bersama kapal ditahan untuk siasatan.

Beliau berkata, penahanan ini membuktikan APMM sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut meskipun negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP).

Artikel Berkaitan:

Katanya, baik pengusaha atau pemilik bot hendaklah mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara.

"Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah laut kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999," katanya.