Polis Sibu akui ada penduduk rumah panjang lari daripada sekatan pergerakan

No Image Caption
A
A
A

SIBU - Polis tidak menafikan dakwaan bahawa terdapat sesetengah penduduk rumah panjang bertindak 'melarikan diri' daripada sekatan pergerakan akibat penularan Covid-19 di daerah ini, dengan menggunakan laluan denai di hutan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, penduduk dipercayai menyusup keluar melalui kawasan kebun atau dusun di belakang rumah panjang mereka sebelum menggunakan laluan denai hutan untuk menuju ke jalan utama, namun polis tidak dapat bertindak kerana kekurangan anggota serta kawasan terlibat terlalu luas untuk dipantau.

"Penduduk boleh sampai ke jalan utama dengan berjalan kaki antara dua hingga tiga jam tanpa kita sedari kerana kita hanya menyekat jalan masuk ke rumah panjang mereka," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 48 rumah panjang dikenakan perintah sekatan pergerakan, sejak Kluster Pasai dikesan pada 7 Januari lalu.

Tular dakwaan di media sosial bahawa terdapat beberapa penduduk rumah panjang yang dikenakan perintah sekatan pergerakan telah meninggalkan kediaman mereka tanpa pengetahuan pihak berkuasa kerana marah dengan tempoh yang terlalu lama sekatan tersebut.

Dakwaan itu, telah menimbulkan kebimbangan orang ramai di sini kerana mereka bimbang usaha untuk melandaikan lekuk Covid-19 akan memakan masa lebih lama dan memanjangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan di bahagian tersebut, termasuk daerah Sibu, Kanowit dan Selangau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu, Charles Siaw ketika ditanya mengenai syarat untuk operasi sektor perniagaan perlu di Sibu, beliau berkata syarikat perlu memohon kebenaran polis untuk menjalankan operasi semasa tempoh PKP ini.

"Ini haruslah untuk perjalanan berkaitan pekerjaan dan hanya satu permohonan bagi setiap syarikat. Permohonan tidak diperlukan jika anda tidak keluar dari Sibu atau melalui sekatan jalan raya polis.

Artikel Berkaitan:

“Bagi mereka yang melakukan perjalanan atas kapasiti peribadi, mereka harus membuat permohon lain,” katanya pada sidang akhbar yang sama.

Majikan perlu menyerahkan salinan lesen perniagaan, senarai nama pekerja mereka, nombor pengenalan serta jadual kerja ketika memohon permit di mana-mana balai polis di Sibu atau boleh menghubungi talian utama Covid-19 di 013-9994158 untuk maklumat lanjut. - Bernama