Empat mengaku salah buat provokasi terhadap polis

Keempat-empat tertuduh mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah dengan cara membuat provokasi terhadap tiga anggota polis 17 Januari lalu.
Keempat-empat tertuduh mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah dengan cara membuat provokasi terhadap tiga anggota polis 17 Januari lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Empat rakan sekampung mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang penjawat awam melakukan tugas dalam insiden kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Tanjung, Tanjung Tokong, di sini.

Shahrizal Anuar, 38, dan Mohd Safwan Akbar, 29, Mohd Hafiz Nasri Shah, 28, dan Mohd Danial Al Arabia Mohd Rafi, 24 membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret R Manomani di Mahkamah Mejistret Georgetown di sini pada Isnin.

Terdahulu, Mohd Hafiz dan Mohd Danial mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan tersebut namun telah menukar pengakuan mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan cara membuat provokasi terhadap tiga anggota polis 17 Januari lalu di simpang lampu isyarat Jalan Tanjong Tokong, di sini pada jam 5.40 petang.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Rais Imran Hamid manakala keempat-empat tertuduh diwakili Biro Guaman dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Najihah Ahmad Zulkarnain.

Dalam pendakwaannya, Rais memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran dan amaran kepada kesemua tertuduh supaya menghormati penjawat awam terutamanya petugas barisan hadapan.

Dalam rayuan mereka, kesemua tertuduh mengaku melakukan kesalahan tersebut dan menyesali perbuatan mereka.

Artikel Berkaitan:

Keempat-empat tertuduh mengakui salah faham dengan maklumat yang mereka peroleh ketika kejadian iaitu kedua-dua mangsa terlibat dalam kemalangan disebabkan ditendang oleh polis.

Manomani kemudiannya memerintahkan kesemua tertuduh menjalankan kerja amal selama dua bulan untuk tiga jam sehari.

Tambahnya, sekiranya kesemua tertuduh ingkar, mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap yang memperuntukkan penjara dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan majistret sama, keempat-empat mereka serta tiga yang lain iaitu Azizul Mohamad, 45; Mohd Idris Ayob, 25, dan Danish Ikmal Mohd Shafiq Samugam, 20, mengaku bersalah atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lokasi dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manomani memerintahkan kesemua tertuduh membayar denda sebanyak RM700 setiap seorang.

Sebelum ini, media melaporkan, seramai tujuh lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden sekumpulan individu disyaki mengepung dan menghalang tugas polis semasa kemalangan membabitkan dua lelaki di Tanjong Tokong di sini kira-kira jam 5.30 petang, 17 Januari lalu.

Insiden itu tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen termasuk menuduh anggota polis sengaja menendang motosikal terbabit sehingga kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah.

Polis bagaimanapun menafikan penglibatan anggota berkenaan dan memaklumkan dua lelaki itu melanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat itu ketika melarikan diri daripada anggota polis.