X

Kindly register in order to view this article
!

Pertempuran baharu di sempadan China-India

Gambar fail menunjukkan askar-askar India di sebuah pos tentera melakukan kawalan di sempadan China dengan negara itu. - Foto AFP
A
A

NEW DELHI - Pertempuran baharu berlaku di Garisan Kawalan Sebenar antara tentera China dengan India di negeri Sikkim, India di tengah-tengah ketegangan hubungan melibatkan kedua-dua buah negara, lapor saluran televisyen India Today pada Isnin.

Menurut laporan itu, tentera kedua-dua negara dilaporkan bertempur di kawasan Naku La kira-kira tiga hari lalu.

Pertempuran itu berlaku selepas tentera China cuba untuk menceroboh wilayah India melalui garisan sempadan tersebut.

Askar-askar dari kedua-dua pihak dilaporkan cedera dalam pertempuran itu, menurut Economic Times.

Bagaimanapun, keadaan dilaporkan terkawal pada Isnin.

Laporan itu berlaku selepas para komander tentera India dan China mengadakan rundingan pusingan kelapan pada Ahad bagi membincangkan isu mengenai kawalan ketenteraan di sempadan di Ladakh, timur India.

Rundingan itu bermula di Moldo pada kira-kira jam 10 pagi dan berlanjutan sehingga 15 jam.

Hubungan antara India dengan China tegang sejak pertempuran berlaku melibatkan kedua-dua tentera di Ladakh pada Jun tahun lalu yang menyebabkan 20 askar India terbunuh.

Tentera China juga dilaporkan mengalami kecelakaan dalam kejadian itu tetapi tidak mendedahkan angka yang terbunuh atau cedera.

Kedua-dua pihak saling menuduh menyeberangi sempadan garisan tersebut, melepaskan tembakan dan ia merupakan insiden yang pertama kali berlaku dalam tempoh 45 tahun.

Pada perbincangan peringkat komander yang diadakan pada November tahun lalu, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengelakkan salah faham dan melakukan tindakan silap di sepanjang Garisan Kawalan Sebenar. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!