Polis tumpaskan Geng Peter aktif pecah rumah

Shamsul Amar Ramli
Shamsul Amar Ramli
A
A
A

KLANG - Polis menumpaskan Geng Peter dianggotai empat individu yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah di Bandar Klang sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, empat lelaki berusia 19 hingga 21 tahun itu ditahan di Taman Sentosa Klang di sini jam 11.30 pagi hingga 1 petang, pada Jumaat.

"Tangkapan itu, susulan laporan yang diterima berhubung kes pecah rumah di Taman Saujana Jati di sini pada 18 Januari lalu.

"Mangsa yang juga seorang juruaudit mendapati antara barang hilang ialah sebuah televisyen, komputer riba, 'hard disk', pasport Malaysia dan 'Game Boy', anggaran kerugian kira-kira RM3,000," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Shamsul Amar berkata, modus operandi kumpulan penjenayah itu adalah suspek akan memotong mangga pada pintu dengan menggunakan pemotong besi dan umpil pintu rumah dengan pemutar skru.

"Tiga daripada suspek berperanan sebagai ‘striker’ masuk rumah, manakala seorang lagi berperanan ‘jaga air’ (pemerhati)," katan beliau lagi.

Beliau berkata, salah seorang suspek mengaku telah menjual barang kemas hasil pecah rumah kepada ‘ulat pembeli emas’ iaitu individu membeli emas secara haram yang berlegar-legar berhampiran kedai pajak gadai di sekitar Bandar Klang.

"Hasil jualan dianggarkan kira-kira RM9,000. Habuan hasil jualan itu akan dibahagi dengan rakan jenayah yang lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semakan mendapati tiga daripada suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau.

"Sebanyak empat kes pecah rumah yang dikenalpasti dilakukan oleh kumpulan penjenayah ini. Kita masih memburu dua lagi ahli kumpulannya. Semua suspek ditahan reman empat hari bermula Sabtu hingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.