Dua suspek melarikan kereta pemandu e-hailing ditahan

Abd Khalid
Abd Khalid
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang lelaki dan wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes melarikan sebuah kereta Perodua Myvi milik seorang pemandu e-hailing di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di sini pada 8 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, dua suspek itu ditahan di sebuah hotel di Teluk Cempedak Pahang pada jam 10 malam, Ahad.

"Kita merampas enam telefon bimbit dan sebuah Perodua Myvi berwarna biru yang dilaporkan hilang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Abd Khalid berkata, ketika kejadian pada jam 1.32 petang, 8 Januari lalu, mangsa telah mengambil dua penumpang di GM Klang untuk ke Hospital Ampang.

"Mangsa telah berhenti di sebuah stesen minyak di KESAS untuk tambah nilai Touch N Go sebelum suspek melarikan kenderaan itu," katanya.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek lelaki mempunyai tujuh rekod jenayah.

"Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Artikel Berkaitan: