Nasib bekas kakitangan TV3 kudung dapat perhatian MAINJ

Mohd Firdaus (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada Mohd Saifuddin yang kini tidak dapat bekerja kerana kedua-dua kakinya kudung di Kampung Baru, Johor Bahru pada Isnin.
Mohd Firdaus (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada Mohd Saifuddin yang kini tidak dapat bekerja kerana kedua-dua kakinya kudung di Kampung Baru, Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sudah jatuh ditimpa tangga, nasib bekas kakitangan TV3, Mohd Saifuddin Mohd Din, 38, yang sebelum ini hilang pekerjaan kini reda apabila kedua-dua kakinya terpaksa dipotong bulan lalu akibat kencing manis.

Mohd Saifuddin yang menjalani dua pembedahan di Hospital Shah Alam pada 2 Disember dan 19 Disember lalu kini menumpang hidup di rumah ibu saudaranya di Kampung Baru di sini.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Dino pernah berkhidmat sebagai kru produksi unit sukan TV3 sebelum terlibat dalam pengecilan operasi syarikat pada Julai lalu.

Menurut Dino, dia kini hanya mampu terbaring di atas katil hospital di rumah ibu saudaranya.

"Saya menerima dugaan ini selepas terjatuh di rumah sewa di Kota Damansara, Selangor. Saya cuba berdiri semula namun tidak berdaya dan terpaksa mengesot untuk mencari telefon pintar bagi mendapatkan bantuan. Selama tiga hari saya terpaksa bergerak seperti itu.

"Perkara pertama yang saya lakukan selepas menjumpai telefon pintar ialah menghubungi ambulans dan bomba untuk membawa saya ke hospital," katanya yang sudah kematian ibu bapa.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Amin Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Mohd Firdaus Abdul Hamid yang melawat dan menyampaikan sumbangan di rumah ibu saudaranya.

Dino mengakui terkesan selepas kedua-dua belah kakinya kudung namun ahli keluarga terdekat serta adik-beradiknya banyak memberi kata-kata semangat bagi meneruskan kehidupan.

Artikel Berkaitan:

Dino juga berharap dapat berdiri dan berjalan seperti biasa serta mampu bekerja semula dengan menggunakan kaki palsu.

Sementara itu, Mohd Firdaus berkata, pihak MAINJ menyerahkan sumbangan wang tunai RM500 dan barangan keperluan harian kepada Mohd Saifuddin bagi meringankan beban Mohd Saifuddin.

"Pihak MAINJ akan melihat keperluan Mohd Saifuddin dari masa ke masa. MAINJ akan membantu keperluan perubatan dan keperluan sara hidup yang akan kita beri daripada agihan zakat," katanya.