PKP: 169 kompaun di Perak dalam tempoh tiga hari

Mior Faridalathrash dalam sesi wawancara bersama radio Perak FM di sini pada Isnin.
Mior Faridalathrash dalam sesi wawancara bersama radio Perak FM di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 169 kompaun dikeluarkan di Perak dalam tempoh tiga hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dikuatkuasakan sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ia membabitkan pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam.

Menurutnya, pemantauan yang dijalankan dalam tempoh sama juga mendapati, sebanyak 97 peratus pematuhan SOP PKP di negeri Perak telah dipatuhi.

"Bagi mereka yang didapati secara sengaja atau ingkar PKP, kita tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun. Kegagalan mematuhi perintah dikeluarkan secara tidak langsung akan membahayakan diri orang lain.

"Justeru saya berharap, orang ramai sentiasa patuh dan mengamalkan SOP dikeluarkan seperti menjaga jarak di tempat awam, pakai pelitup muka, sentiasa membersihkan tangan dan elak berada di tempat sesak dan sempit," katanya dalam sesi wawancara bersama radio Perak FM di sini pada Isnin.

Menurutnya, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 13 Januari sehingga 21 Januari lalu, sebanyak 576 kompaun telah dikeluarkan.

"Dari segi pematuhan pula, sebanyak 96 peratus kadar pematuhan SOP direkodkan," katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, sepanjang tahun lalu, polis Perak berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 31 peratus iaitu 1,523 kes berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia termasuk jenayah harta benda yang menurun sebanyak 31.8 peratus dan jenayah kekerasan (28.2 %).

"Secara keseluruhan, keadaan keselamatan di negeri ini masih berada dalam keadaan aman dan terkawal. Amat membanggakan apabila semua daerah telah mencatatkan penurunan, tiga daerah yang merekodkan peratusan penurunan paling tinggi adalah Kampar (43.8 peratus), Ipoh (41.6peratus) dan Muallim (32.1 peratus).

"Perak juga berada di kedudukan kedua selepas Kontinjen Sabah dalam kejayaan menurunkan kadar jenayah indeks dan di kedudukan sama selepas Kontinjen Melaka bagi kadar penyelesaian kes," katanya.

Dalam wawancara secara maya yang berlangsung selama 30 minit itu, Mior Faridalathrash turut menasihatkan orang ramai berwaspada dalam berurusniaga di atas talian dengan pihak yang tidak dikenali sepanjang tempoh PKP ini.

Katanya, kes berkaitan macau scam, penipuan urusan jual beli dan pinjaman tidak wujud dalam talian meningkat sebanyak 95 kes pada tahun lalu berbanding 2019.

"Sekiranya kita menerima panggilan telefon daripada nombor yang mencurigakan, sebaiknya tidak perlu jawab, begitu juga jika ada pihak yang meminta memasukkan wang ke dalam akaun, sila letakkan dahulu panggilan tersebut dan terus dapatkan pengesahan melalui talian-talian rasmi yang ada," katanya.