Pemuda UMNO nafi pasang kain rentang minta presiden letak jawatan

Kain rentang yang di pasang di pagar Masjid Sikamat pada Isnin. Gambar kecil: Zool Amali
Kain rentang yang di pasang di pagar Masjid Sikamat pada Isnin. Gambar kecil: Zool Amali
A
A
A

SEREMBAN - Pemuda UMNO Bahagian Seremban menafikan memasang kain rentang mempunyai tulisan meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan yang digantung di pagar Masjid Sikamat, di sini.

Ketuanya, Zool Amali Hussin berkata, beliau tidak pernah menyuruh mana-mana pihak menggantung kain rentang yang meminta Ahmad Zahid meletakkan jawatan kerana berpendapat perbuatan itu adalah cara yang tidak bijak.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan Pemuda UMNO Seremban memasang kain rentang yang meminta Presiden UMNO letak jawatan.

Perbuatan ini hanyalah berunsur provokasi, saya yakin ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan memburukkan imej Pemuda dan juga Ketua UMNO Bahagian Seremban. Saya yakin ini adalah perbuatan musuh politik yang sengaja mahu melaga-lagakan ahli UMNO," katanya kepada Sinar Harian.

Kain rentang itu disedari sekitar jam 9 pagi pada Isnin.

Tambah Zool Amali, beliau telah mengarahkan supaya kain rentang itu segera diturunkan untuk mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, Zool Amali berpandangan bahawa beliau bersetuju dengan pandangan Ketua Pemuda UMNO Pontian, Mohd Helmi Buang yang meminta supaya Presiden UMNO berehat daripada memimpin parti itu malah perkara ini didakwa sudah lama disuarakan dalam mesyuarat UMNO cawangan, bahagian dan Pemuda bahagian di Seremban.

“Saranan ini bukan kerana kami tidak hormat Presiden UMNO atau menidakkan keputusan pemilihan parti, tapi inilah suara pemuda, suara akar umbi. Kami tidak membenci presiden cuma kami sayangkan UMNO,” katanya.

Artikel Berkaitan: