Jangan beri muka kepada pesalah rasuah

Gambar kecil: Wan Mohd Faizul Wan Abas
Gambar kecil: Wan Mohd Faizul Wan Abas
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sudah sampai masanya untuk semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bersatu untuk memerangi rasuah dalam negara daripada terus membarah.

Pengerusi UMMAH Terengganu, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, pesalah rasuah perlu diadili dan jangan memberi muka kepada sesiapapun sama ada 'ikan bilis' mahu pun 'ikan 'jerung'.

Malah katanya, mana-mana pemimpin politik yang mempunyai kes rasuah dan salah guna kuasa juga wajib ditolak rakyat.

"Tiada kompromi. Bicarakan seadil-adilnya kes rasuah pemimpin politik.

"Rasuah adalah barah dalam masyarakat. Jika tidak dibanteras, ia merebak seperti barah dan boleh jadi sampai tahap empat, maka tidak boleh diselamatkan lagi.

"Saya percaya kita hanya mampu mengawalnya sahaja, bukan menghapuskan rasuah 100 peratus kerana ia adalah mustahil secara adatnya. Tapi, sekurang-kurangnya jangan sampai ia membarah seperti sekarang," katanya.

Jelas Wan Mohd Faizul, masalah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam negara bukanlah perkara baharu, cuma 'volume'nya berbeza.

Disebabkan itu, negara memerlukan pemimpin yang beramanah, penuh integriti dalam melaksanakan tanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

"Carilah pemimpin yang bersih tidak kira dari parti mana, yang tiada kes rasuah, berakhlak dan sanggup berkorban demi rakyat. Pendek kata, carilah yang beragama, yang tahu dosa pahala dan yang beramal dengan ilmu agamanya.

"Bukan yang sibuk merebut jawatan tanpa mempedulikan nasib rakyat di saat pandemik semakin teruk, ekonomi rakyat semakin meleset, kes bunuh diri dan penceraian meningkat serta ramai yang hilang pekerjaan," katanya.

INFO

Empat kesalahan utama rasuah berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009

- Meminta atau menerima rasuah

- Menawar atau memberi suapan

- Mengemukakan tuntutan palsu

- Menggunakan jawatan / kedudukan untuk suapan pegawai badan awam

Sumber: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia