Peniaga rugi RM25,000 diperdaya 'Datuk'

Gambar hiasan. - Foto 123RF Gambar kecil: M Zambri
Gambar hiasan. - Foto 123RF Gambar kecil: M Zambri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga di Kuala Besut, Besut kerugian hampir RM25,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa dia tidak membayar cukai selama 15 bulan ke atas sebuah syarikat didaftar atas namanya di Kuantan.

Kejadian bermula pada 20 Januari lalu apabila lelaki berusia 43 tahun itu menerima panggilan individu kononnya wakil daripada pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mendakwa mangsa tidak membayar cukai berjumlah RM38,600.

Menurut sumber, suspek kemudian memaklumkan mahkamah sudah mengeluarkan waran tangkap kerana kesalahan itu lalu talian disambungkan ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuantan.

"Mangsa kemudian bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri pegawai polis sebelum dia mendakwa hasil semakan mendapati nama mangsa disalahgunakan atas kegiatan jenayah.

"Bagaimanapun mangsa dimaklumkan individu bergelar 'Datuk' akan membantunya menyelesaikan masalah itu dan pada hari yang sama mangsa menerima panggilan daripada individu berkenaan.

"'Datuk' itu kemudian meminta nombor akaun dengan alasan untuk menyelamatkan semua wang mangsa sebelum mengarahkan mangsa memuat naik aplikasi Bank Negara dengan alasan mengelak duit itu disita," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Sumber berkata, mangsa ada mengisi borang yang diperlukan selepas memuat naik aplikasi Bank Negara sebelum 'Datuk' tersebut meminta mangsa membuat pemindahan wang berjumlah RM6,800 ke dalam nombor akaun yang diberikan.

"Pada hari yang sama juga, mangsa ada menerima pesanan daripada pihak bank memaklumkan yang dia melakukan beberapa transaksi ke dalam nombor akaun tidak dikenali.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa yakin dirinya sudah ditipu selepas menghubungi pihak bank yang memaklumkan baki akaun syarikatnya hanya tinggal RM38 sahaja kerana sudah membuat beberapa kali transaksi ke dalam nombor akaun berbeza," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi Sinar Harian, pada Isnin mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan panggilan daripada nombor tidak dikenali.

"Jangan mudah percaya dan berhati-hati lebih-lebih lagi melibatkan transaksi wang bagi mengelak ditipu," katanya.