FAM, MFL pantau kemelut PAFA

No Image Caption
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan terus memantau perkembangan terkini kemelut yang melanda Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) setelah peletakan jawatan Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya turut terkejut dengan kenyataan Ahmad Faizal yang mendakwa PAFA belum menjelaskan gaji pemain dan pegawai pasukan Perak FC selama sebulan setengah.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, setakat ini pihaknya masih belum menerima apa-apa laporan rasmi daripada pemain atau pegawai The Bos Gaurus berhubung perkara berkenaan.

“Kami memahami adanya pertukaran dalam kepimpinan politik di negeri Perak dan ia dapat dilihat menerusi peletakan jawatan Presiden PAFA baru-baru ini.

“Jadi diharapkan agar kepimpinan baharu PAFA dapat bertindak segera bagi menangani perkara ini agar tidak berlarutan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Jumaat lalu, Ahmad Faizal dan Timbalan Presiden PAFA yang juga pengurus skuad Liga Super Perak FC, Datuk Adly Shah Ahmad Tah mengumumkan peletakan jawatan mereka berkuatkuasa serta merta.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam turut mengakui pihaknya tidak menerima laporan rasmi daripada pemain mahupun pegawai Perak FC berhubung masalah tunggakan gaji.

“Buat masa ini, FAM tidak akan masuk campur dalam masalah itu. Urusan gaji hanya melibatkan antara kelab dan kakitangannya, jadi biarlah ia diselesaikan di peringkat PAFA terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

“Seperkara lagi, ini bukan masalah melibatkan pelesenan (kelab). Pelesenan kelab adalah di bawah bidang kuasa MFL,” jelasnya ketika diajukan pertanyaan adakah lesen kelab Perak FC boleh ditarik balik jika PAFA masih gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan pada masa yang ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Presiden, Timbalan Presiden PAFA umum letak jawatan