X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysian Tigers tetap berlatih

Arul Selvaraj
A
A

PENANGGUHAN Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Lelaki 2021 di Dhaka, Bangladesh seakan-akan memberi peluang kepada skuad hoki negara membuat persiapan terbaik bagi menghadapi Piala Sultan Azlan yang dijadualkan berlangsung pada Jun depan.

Ketua jurulatih negara, Arul Selvaraj berkata, penangguhan kejohanan itu membolehkan beliau terus memperkasakan Malaysian Tigers sebelum menghadapi saingan di Ipoh, Perak nanti.

Arul memberitahu, beliau tetap meneruskan modul latihan atas talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) biarpun Trofi Juara-Juara Asia Lelaki 2021 yang sepatutnya berlangsung pada 11 hingga 19 Mac terpaksa ditunda.

“Dalam keadaan kita tidak dapat turun ke padang latihan dan gimnasium ketika ini, pemain-pemain hanya menjalani latihan secara individu di rumah secara dalam talian.

“Saya harap tanpa kehadiran saya di hadapan mereka seperti kebiasaan, para pemain masih mempunyai rasa tanggungjawab untuk membina kekuatan otot dan menjaga berat badan.

“Kita berdepan kekangan untuk berlatih dan terpaksa berlatih dalam normal baharu. Bagaimanapun, latihan untuk fizikal ini penting buat pemain-pemain untuk memastikan mereka terus cergas,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Selain Trofi Juara-juara Asia Lelaki 2021 di Dhaka, Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2021 di Donghae, Korea Selatan pada 31 Mac hingga 7 April turut ditangguhkan susulan pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Arul berharap penganjuran Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 dapat dilangsungkan lebih awal berbanding jangkaan sebelum ini iaitu pada Julai atau Ogos.

“Ia penting sebagai pendedahan kepada para pemain untuk bermain sebelum menyertai kejohanan. Mereka perlu berada di atas padang dan kembali beraksi kerana ia sesuatu yang amat penting.

“Dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, saya tidak boleh menjangkakan kemungkinan yang boleh berlaku pada masa akan datang.

“Jadi jika dilihat perancangan pasukan kebangsaan, saya tidak boleh rangka pelan 12 bulan atau enam bulan, sebaliknya ia mengikut minggu atau bulan,” jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!