‘Bunyi ketuk pintu pun ingat SPRM datang’

Kuan Chee Heng
Kuan Chee Heng
A
A
A

PUCHONG - “Kalau ambil rasuah, hati tak tenang...bunyi ketukan pintu rumah pun kita ingat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang datang,” kata Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng.

Justeru, Chee Heng yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, kempen pencegahan rasuah perlu dilaksanakan dari masa ke masa untuk mengingatkan masyarakat supaya tidak terjebak dengan perbuatan tersebut.

Menurutnya, kempen yang dilaksanakan juga perlu disemai dengan nilai-nilai agama.

“Perbuatan rasuah timbul kerana ramai yang lupa agama, sebenarnya kalau ingat tuhan, kita tak akan terlibat dengan rasuah.

“Jadi baguslah Sinar Harian anjurkan kempen yang bertujuan mengajak rakyat bangkit membanteras rasuah.

“Yang penting kempen untuk mengingatkan antara satu sama lain ini perlu ditanam dengan nilai-nilai agama. Hanya agama boleh ubahkan kita,” katanya kepada Sinar Harian.

Chee Heng berkata, isu rasuah tidak mudah dibanteras meskipun setiap agama melarang perbuatan itu dalam kehidupan.

Katanya, rasuah akan terus berlaku di negara ini sekiranya sistem politik yang ada tidak diubah.

Artikel Berkaitan:

“Selagi ada parti politik Malaysia, selagi itu ada rasuah, jika ahli politik tak ada dana politik, mereka susah nak hidup, ini realiti yang tak boleh disangkal. Rasuah berlaku kerana mereka perlu meraih sokongan orang bawah untuk berkuasa.

“Kalau nak selesaikan isu rasuah kena pastikan ahli politik berjuang dalam parti mereka kerana negara bukan untuk kepentingan atau kayakan diri sendiri.

“Pastikan mereka kaya dulu baru boleh masuk politik,” katanya yang turut kecewa dalam keadaan negara berdepan pandemik gejala rasuah tetap berlaku.

Terdahulu, beliau berkata, rasuah bukan sahaja merugikan individu malah memburukkan ekonomi negara.

Katanya, jika isu rasuah berleluasa, pelabur akan hilang keyakinan untuk melabur di negara ini.

“Rasuah merugikan negara dan rakyat kerana ia menjejaskan ekonomi. Kita kena saling mengingatkan bahawa kita tak akan miskin kalau tak ambil rasuah.

“Rasuah akan miskinkan kita di dunia dan akhirat. Kalau tak ambil rasuah sebenarnya kita lebih kaya dan hidup juga tenang,” katanya.

Pada 16 Januari, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan Sinar Untuk Malaysia #KarakterNilaiMoralBangsa.

Tidak bertujuan untuk mengambil alih tugas mana-mana pihak berkuasa khususnya SPRM, sebaliknya gerakan massa oleh Sinar Harian dengan mewujudkan Sinar Rasuah Busters itu sebenarnya sebagai pembuka laluan bagi mengajak rakyat bangkit membanteras rasuah.